Pengendali Arsenal, Mikel Arteta, berasakan Aaron Ramsdale, sudah bersedia untuk menjadi penjaga gol pilihan pertama England bagi Piala Dunia Qatar hujung tahun ini.

Jordan Pickford merupakan pilihan utama di bawah kendalian Gareth Southgate sejak empat tahun yang lalu selepas membintangi Piala Dunia 2018, tetapi dia telah diketepikan untuk perlawanan England akan datang bertemu Itali dan Jerman kerana kecederaan paha.

Ramsdale dijangka bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan bagi aksi tersebut, dan Arteta percaya persembahan pemain berusia 24 tahun itu sejak 12 bulan yang lalu di peringkat kelab membenarkan keyakinan kepadanya untuk berhak bersaing bagi mendapatkan tempat dalam saingan di Piala Dunia nanti.

"Saya rasa Aaron benar-benar bersedia untuk beraksi. Ia akan menjadi ganjaran yang baik untuknya atas apa yang telah dilakukannya," kata Arteta.

"Saya harap dia [dipilih untuk Piala Dunia]. Saya fikir ia adalah hebat untuk kami dan Aaron. Dia menunjukkan pada tahun lepas apa yang dia mampu lakukan. Kami akan memerhati dan menunggu keputusan itu."

Ramsdale turun sebagai pilihan kedua Arsenal musim lalu di belakang Bernd Leno, namun mula mempamerkan aksi berkualiti sekaligus berada dalam kesebelasan utama, dan dia telah berjaya tidak dibolosi sebanyak 12 perlawanan dalam 34 perlawanan liga buat The Gunners bagi musim 2021-22.

Dia turut beraksi cemerlang sejak permulaan musim, tidak dibolosi dalam dua kali daripada enam perlawanan.

Pickford turut meletakkan prestasinya di bawah radar Southgate, tampil cemerlang ketika mengikat Liverpool dalam pertembungan derby Merseyside awal bulan ini.