Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menyingkirkan Indonesia selaku tuan rumah Kejohanan Piala Dunia B-20 2023, demikian disahkan badan induk bola sepak dunia itu dalam laman web rasmi mereka lewat malam tadi.

Selepas satu mesyuarat di antara Presiden FIFA, Gianni Infantino, dan Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir, FIFA membuat keputusan -- berdasarkan situasi semasa -- untuk menyingkirkan Indonesia selaku tuan rumah kejohanan itu.

Penganjur baru juga dilaporkan akan dimaklumkan dalam masa terdekat dengan tarikh asal kejohanan itu akan dikekalkan.

FIFA turut mengesahkan hukuman yang berpotensi buat Indonesia akan ditentukan selepas ini.

"FIFA ingin menggariskan bahawa di sebalik keputusan ini, ia tetap komited untuk aktif membantu PSSI, dengan kerjasama erat dan dengan sokongan kerajaan Presiden (Joko) Widodo, dalam proses transformasi bola sepak Indonesia berikutan tragedi yang berlaku pada Oktober 2022.

"Ahli daripada pasukan FIFA akan terus berada di Indonesia dalam beberapa bulan akan datang dan akan memberikan bantuan yang diperlukan kepada PSSI, di bawah kepimpinan Presiden Thohir," kata badan induk itu.

Piala Dunia B-20 2023 sepatutnya berlangsung di Indonesia bermula 20 Mei depan.

Menurut laporan CNN Indonesia, keputusan FIFA itu dipacu oleh protes yang diadakan di negara itu bagi menghalang penyertaan skuad kebangsaan Israel.

Ini selepas dua ketua daerah, iaitu Bali dan Jawa Tengah, menolak kehadiran atlet dari Israel ke daerah mereka, yang sepatutnya menjadi venue kejohanan berkenaan.

Dengan penyingkiran Indonesia selaku tuan rumah, ia juga menyaksikan tiket peluang khas buat pasukan negara itu untuk beraksi dalam kejohanan berkenaan turut terbatal.

Selain itu, tragedi rusuhan penyokong di Stadium Kanjuruhan pada Oktober tahun lalu turut dilaporkan menjadi faktor pendorong FIFA membatalkan status tuan rumah Indonesia.