Skuad hoki ais Malaysia meneruskan rekod tanpa kalah dalam peringkat kumpulan selepas membenam India 10-1 untuk menempah slot separuh akhir Piala Cabaran Asia di Empire City Mall, semalam.

Selepas menundukkan Indonesia 12-0 dan Macau 7-1, skuad negara berhasrat untuk meneruskan momentum kemenangan.

Kesungguhan itu terbukti apabila Malaysia mula di depan seawal minit kedua menerusi kapten pasukan, Loke Ban Kin.

Muhammad Nizam Deen Versluis menambah gol kedua Malaysia dua minit kemudian, disusuli Mohd Aqeel Noor Hisham yang menjadikan kedudukan 3-0 menuju penamat suku pertama.

Malaysia terus berpesta dalam suku kedua dengan meledak empat lagi gol, masing masing menerusi Ban Kin, Nizam dan pemain paling muda dalam skuad kebangsaan, Ilhan Mahmood Haniff, yang menyumbangkan dua gol.

Aksi dalam babak ketiga pula menyaksikan Malaysia terus mengganas, dengan Khoo Seng Chee menjaringkan gol kelapan pada minit ke-48.

India akhirnya memperoleh gol sagu hati hasil ledakan Rinchen Tundup seminit kemudian, namun Malaysia tidak mengalah dan terus merobek gawang lawan dengan dua lagi gol, masing masing sumbangan Bryan Lin dan Brandon Tan.

"Saya fikir jumlah jaringan agak tinggi. Sudah tentu mereka banyak meningkat, ia membuatkan kami menjaringkan banyak gol.

"Teknik meluncur dan hantaran kami meningkat. Saya bangga dengan cara mereka bermain," kata jurulatih pasukan negara, Kristof Kovago.

Sementara itu, pemain negara, Ilhan Mahmood Haniff, berkata: "Saya fikir ia adalah kemenangan yang baik dengan hasil kerjasama sebuah pasukan. Saya bangga dengan pasukan saya."

"Pemain (India) memberikan aksi yang terbaik di atas ais tetapi ia bukan hari kami, terlalu banyak penalti yang dikenakan untuk membolosi jaring kami," kata kapten pasukan India, Tsewang Gyalston Gyal.

Satu lagi keputusan peringkat kumpulan semalam menyaksikan Macau mengatasi Indonesia 5-2.

Rekod tanpa kalah di peringkat kumpulan meletakkan Malaysia di persada kumpulan dengan sembilan mata, diikuti India, Macau dan Indonesia.

Dalam aksi separuh akhir esok, Malaysia akan bertemu Indonesia pada jam 6 petang, namun terdahulu India dan Macau akan membuat perhitungan pada jam 2.30 petang.