Perjalanan Kedah Darul Aman FC dalam Piala AFC 2022 tamat di peringkat separuh akhir Zon ASEAN selepas tewas 1-2 kepada kelab Indonesia, PSM Makassar, di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali sebentar tadi.

Gol daripada Yakob Sayuri dan Yuran Fernandez dalam babak berbeza sudah cukup untuk membawa Makassar ke final sambil Kedah cuba merencanakan kebangkitan pada penghujung perlawanan menerusi gol Fayadh Zulkifli Amin.

Makassar berada di depan pada minit ke-31 apabila Sayuri bijak menghidu lintangan rendah Rizky Pratama untuk menewaskan Ifwat Akmal Chek Kassim.

Fernandez kemudian menambah derita Lang Merah dalam babak kedua dengan menanduk masuk bola daripada sepakan penjuru pada minit ke-55 untuk Makassar selesa mendahului 2-0.

Bagaimanapun, arus permainan mula berpihak Kedah sebaik Fernandez dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari Ronald Ngah Wanja pada minit ke-62.

Hasilnya, Fayadh berhasil merapatkan kedudukan pada minit ke-86 menerusi rembatan deras di depan gawang lawan.

Walaupun Makassar kehilangan seorang lagi pemain selepas Agung Mannan turut dilayangkan kad kuning kedua dalam waktu kecederaan, Kedah masih tidak menemui gol penyamaan, sekali gus terpaksa merelakan perjuangan mereka ternoktah setakat itu.



*Kredit foto: Kedah Darul Aman FC