Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini menjelaskan alasan di sebalik penganjuran Pestabola Merdeka 2023 pada Oktober depan, yang akan berlangsung dalam tempoh singkat.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata kejohanan itu terpaksa dibuat dalam skala kecil kerana kekangan tempoh waktu penganjuran dalam Kalendar FIFA.

"Kami tahu peminat mahu Pestabola Merdeka macam dulu berlangsung 10 hingga 15 hari. Kami buat dalam skala kecil kali ini kerana Kalendar FIFA sangat padat dengan pelbagai kejohanan besar ketika itu.

"Lagipun, kita perlu bermain dalam kalendar FIFA untuk menarik pasukan yang bagus. Jika tidak, kita akan berdepan halangan kerana penganjuran liga di setiap negara berdasarkan Kalendar FIFA.

"Kami juga mahu kejohanan ini diadakan dalam Kalendar FIFA untuk mendapatkan mata ranking," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Ketujuh Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.

Sebelum ini, FAM mengesahkan Palestin, Lubnan dan India akan menyertai kejohanan itu, yang kali terakhir berlangsung pada 2013.

Menurut Hamidin, kejohanan kali ini akan mengunakan format seperti Piala Raja Thai yang berlangsung di Chiang Mai, September tahun lalu dengan setiap pasukan hanya akan bermain sebanyak dua perlawanan.

"Setiap pasukan akan terus bermain dalam separuh akhir. Dua pasukan yang menang akan ke final dan dua pasukan yang kalah akan bermain bagi penentuan tempat ketiga dan keempat," katanya lagi.

Kredit: Sinar Harian