Acara yang amat dinanti-nantikan oleh para peminat gusti seluruh dunia iaitu WWE Royal Rumble akan kembali untuk edisi tahun 2022 pagi esok secara langsung di WWE Network saluran Astro 821.

Melihatkan senarai perlawanan yang telah dimuktamadkan untuk acara yang memasuki ulang tahun yang ke 35 kali ini, ternyata edisi kali ini begitu padat dengan beberapa perlawanan yang antaranya selama ini menjadi impian para WWE Universe.


Pertembungan Bobby Lashley dan Juara WWE Brock Lesnar merupakan antara yang paling ditunggu-tunggu. Setelah The Beast berjaya merampas Kejuaraan WWE daripada Big E di acara WWE Day 1 pada awal bulan lalu, kini The All Mighty boleh tersenyum kerana hasratnya yang telah terpendam selama bertahun-tahun untuk satu lawan satu dengan Brock Lesnar di dalam gelanggang menjadi kenyataan.

Di samping kedua mereka merupakan bintang powerhouse yang pastinya akan menyaksikan kedua mereka saling beradu tenaga siapa yang lebih gagah, keduanya juga mempunyai latar belakang sukan seni bela diri campuran (mixed martial art) di mana Brock sendiri merupakan bekas Juara Heavyweight Dunia UFC (Ultimate Fighting Championship) manakala Lashley pula pernah mengungguli pentas Bellator MMA dan beberapa organisasi sukan tempur lain di Amerika Syarikat beberapa tahun sebelum ini.

Walaupun perlawanan impian ini sepatutnya “disimpan” untuk acara yang lebih besar seperti Wrestlemania, namun kesudian WWE untuk membelanja WWE Universe lebih awal sangat disambut baik. Ia boleh dijadikan batu loncatan untuk Lashley membuktikan yang dirinya juga setanding dengan Brock Lesnar dan mampu menidakkan kata-kata The Beast terhadapnya yang selama ini mendakwa Lashley hanya cuba untuk menjadi Brock Lesnar wannabe.


Bagi perebutan Kejuaraan Universal pula, penyandang juara Roman Reigns kali ini tidak boleh terlalu selesa kerana akan berdepan cabaran daripada bekas rakan sekutunya ketika dalam pasukan The Shield dahulu, tidak lain dan tidak bukan iaitu Seth “Freaking” Rollins.

Setelah dilihat tiada mana-mana bintang Smackdown lain yang layak untuk berentap dengan Roman, pegawai WWE Adam Pearce terpaksa mengimport Rollins dari jenama Raw dalam usaha untuk melihat siapakah yang berdaya untuk menghentikan penguasaan Roman yang telah bergelar juara lebih daripada 510 hari. Sejak memenangi kejuaraan ini pada September 2020, belum ada mana-mana lagi yang berjaya menumbangkan The Tribal Chief, menyebabkan bintang berusia 36 tahun itu terus selesa di takhta tertinggi Smackdown.

Pencalonan Rollins juga dilihat tepat dan kena pada masanya. Walaupun The Architect merupakan bintang dari jenama Raw, namun Rollins sememangnya layak kerana peluangnya untuk berdepan satu lawan satu untuk Kejuaraan WWE tempoh hari telah direnggut kerana di saat akhir, di mana perlawanan itu diubah setiap minggu sehingga akhirnya menjadi lima penjuru.

Dengan rekod kemenangan ke atas Roman dalam siri-siri pertemuan sebelum ini, pastinya Seth tidak gentar untuk berhadapan dengan Roman. Apatah lagi, kerjasama mereka dalam The Shield sebelum ini menjadikan segala rahsia Roman berada dalam poketnya dan ia sekali gus memudahkan tugasnya. Apatah lagi, The Usos telah diharamkan daripada berada di sisi gelanggang kerana Rollins telah berjaya menumpaskan sepupu Roman tersebut di acara Smackdown minggu lalu, hasil bantuan Kevin Owens.

Bercakap tentang Royal Rumble, yang paling ditunggu-tunggu pastinya perlawanan Royal Rumble itu sendiri. Melazimi tradisi sejak tahun 2018, dua perlawanan Rumble untuk 30 orang bintang lelaki dan wanita akan mengambil tempat bagi merebut slot untuk beraksi di perlawanan kemuncak Wrestlemania.


Kemasukan Charlotte Flair selaku Juara Wanita Smackdown di acara Rumble kali ini agak menarik dan menjadikan ia berbeza berbanding Rumble wanita sebelum ini. Kebiasannya, peserta bukan juara yang akan berentap bagi memperoleh hak sebagai pencabar utama. Tapi dengan kemasukan The Queen kali ini, beliau dilihat cuba untuk menyerlahkan lagi penguasaannya di pentas divisyen wanita dan sekiranya menang, beliau pula boleh memilih mana-mana pencabar yang diingini untuk bertemu dengannya di Wrestlemania April depan.

Selain bintang wanita sedia ada, beberapa bintang legenda dan terdahulu akan turut bersaing dalam tempur raksasa wanita kali ini. Lita, Summer Rae, Bella Twins dan Michelle McCool antara yang telah sah akan bertanding. Dan tambah menarik, kemasukan bintang luar WWE yang turut diundang khas seperti Mickie James yang merupakan Juara Knockout Wanita dari Impact Wrestling, memperlihatkan yang WWE telah sedikit demi sedikit membuka “pintu larangan” untuk bintang luar beraksi di pentas WWE.


Bagi perlawanan Rumble lelaki pula, 22 nama telah disahkan akan bersaing tahun ini. Nama-nama besar seperti Randy Orton, AJ Styles, Kevin Owens, Shinsuke Nakamura, Rey Mysterio dan bintang-bintang baharu yang dahagakan kemenangan manis di Rumble seperti Damien Priest, Ricochet, Rick Boogs, Madcap Moss dan ramai lagi pastinya menjanjikan saingan yang cukup sengit kali ini. Dengan beberapa lagi slot peserta yang masih kosong, sudah tentu para peminat akan menanti dengan penuh debaran untuk menyaksikan gerangan siapakah yang bakal muncul sekali gus memberi kejutan. Dengan “pintu larangan” yang telah sedikit terbuka, mungkinkah akan ada jaguh luar untuk turut sama menggegar arena The Dome at America’s Centre di St. Louis, Missouri kelak? Semuanya bakal terjawab pagi esok.

Perlawanan lain di acara WWE Royal Rumble 2022:
1. Dua pasangan suami isteri akan berentap dalam perlawanan beregu campuran di antara Edge & Beth Phoenix menentang The Miz & Maryse
2. Doudrop mencabar Becky Lynch untuk Kejuaraan Wanita Raw

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acara WWE Royal Rumble esok bermula jam 8.00 dan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.