Dominic Tan menyambut baik persaingan bagi merebut posisi pertahanan tengah skuad kebangsaan bersama ketua pasukan, Dion Cools, selain Feroz Baharudin dan Khuzaimi Piee.

Sejak ketua jurulatih, Kim Pan-gon, merevolusikan bola sepak negara, nama Dominic antara yang konsisten berada dalam perancangan pengendali kelahiran Korea Selatan itu.

Biarpun sebelum ini kelihatan bergelut untuk menembusi kesebelasan utama, Dominic kini seakan-akan sudah mula mendapatkan kepercayaan Pan-gon di posisi itu.

Ia juga didorong oleh impak yang dibawanya di peringkat kelab bersama Sabah FC sejak musim lalu.

Menjelang aksi persahabatan antarabangsa tier 1 menentang Hong Kong pada Selasa ini, Dominic berkata kepada Astro Arena: "Jurulatih Kim sudah setahun berada di sini dan kami semua pemain sedar apa yang dimahukannya.

"Sudah pasti siapa yang diberikan peluang akan melakukan yang terbik untuk memenuhi permintaannya itu.

"Persaingannya bagus untuk pasukan kebangsaan, ia bagus untuk bola sepak di Malaysia.

"Ia mendorong setiap orang untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama dan pada akhirnya, ia satu persaingan yang sihat.

"Apa yang saya mahu lakukan hanyalah untuk membantu skuad kebangsaan.

"Sudah pasti setiap pemain dalam skuad kebangsaan mempunyai kualiti, jadi kami perlu mendapatkan kemenangan.

"Setiap perlawanan penting dan tidak kisah siapa sahaja lawannya, persiapannya tetap sama buat kami semua.

"Kami mengambil serius dan sekiranya saya mendapat peluang lagi, saya akan melakukan yang terbaik untuk membantu pasukan ini," katanya.