LIVERPOOL 3 MANCHESTER CITY 1

Jurgen Klopp kagum dengan barisan keduanya selepas Liverpool menewaskan Manchester City 3-1 dalam perebutan Piala Perisai Komuniti sambil mengulas mengenai kualiti barisan pemainnya dalam pra-musim.


Liverpool memenangi pertembungan sengit dengan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu di Stadium King Power, awal pagi tadi, hasil jaringan Trent Alexander-Arnold, Mohamed Salah dan Darwin Nunez.

Penyerang baru itu dimasukkan dari bangku simpanan selama 30 minit untuk penampilan sulungnya dalam kancah Inggeris dengan bergaya, secara tidak langsung menenggelamkan reputasi bintang Manchester City, Erling Haaland.

Nunez menanduk masuk hantaran lintang dari sayap kiri untuk The Reds kembali selesa dengan kelebihan dua gol dalam masa kecederaan selepas percubaan Haaland terkena palang ketika Adrian cuba menghalang rembatan Phil Foden.

Ditandatangani daripada Benfica selepas kempen cemerlang 2021-22 baik dalam saingan domestik Portugal dan Liga Juara-Juara (UCL), penggempur Uruguay itu menghadapi beberapa perlawanan yang sukar sebaik menyarung jersi Liverpool dalam aksi pemanas badan biarpun sempat mencetak empat gol dalam kemenangan 5-0 ke atas RB Leipzig, minggu lalu.

Impaknya dari bangku simpanan awal pagi tadi cukup memberangsangkan yang menyaksikan pemain berusia 23 tahun itu melepaskan empat percubaan apabila dua daripadanya tepat sasaran.

Tandukannya ke lengan Ruben Dias turut menghadiahkan sepakan penalti kepada Liverpool yang disempurnakan Salah selepas Julian Alvarez mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-70.

"Ia bagus, sangat bagus," kata Klopp mengenai penampilan sulung Nunez dalam sidang akhbar selepas perlawanan.



"Jelas sekali bahawa dia akan bertambah baik dengan peredaran masa. Semua orang dinilai pada pandangan pertama. Ia tidak membantu sesiapa pun, tetapi ia berlaku sepanjang masa.

"Tahap fizikal pemain kedua-dua pasukan belum di tahap 100 peratus hari ini . Tetapi dalam beberapa perlawanan ujian, prestasi kami tidak hampir sama seperti hari ini. (Dalam perlawanan sebelum ini) semua orang menilai sentuhan pertamanya dan perkara seumpamanya. Ia melucukan tetapi kami tetap perlu hadapinya. Kami bersabar, kami tahu bahawa dia mampu melakukan tugas yang bagus.

"Kita semua tahu -- penyerang adalah spesies istimewa -- dan semua orang tahu penglibatan positifnya termasuk gol.

"Saya fikir Darwin walaupun tanpa menjaringkan gol ketiga itu akan tetap menemui sentuhan penyudah memandangkan sepakan penalti itu dimenangi menerusi tandukannya dan terdahulu, Ederson bertindak tangkas menangkis percubaannyaa.

"Jaringannya ibarat penambah seri. Anda dapat lihat wajah gembiranya termasuk rakan sepasukannya tumpang gembira. Ia satu petanda yang sangat baik selepas tempoh yang singkat."