Tidak menempatkan diri selaku salah satu pasukan ke peringkat separuh akhir Piala AFF B-16 yang berlangsung di Yogyakarta, Indonesia bukan satu kegagalan bagi pemain-pemain muda negara, sebaliknya ia memberi kematangan kepada mereka.

Ini kerana mereka telah melalui pelbagai dugaan dan cabaran sebelum diterbangkan ke destinasi pertandingan, terutama dalam mempersiapkan pasukan.

Mungkin ramai tidak ketahui bahawa pasukan kendalian Osmera Omaro itu tidak ada satu perlawanan persahabatan di peringkat antarabangsa yang diaturkan, namun itu bukan alasan untuk mereka beri yang terbaik.

Lihat sahaja bagaimana falsafah bola sepak yang pamerkan skuad Harimau Muda ini, mereka telah mengikut acuan yang dibentuk dalam Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) yang selaras dengan peta hala tuju bola sepak Malaysia yang diwujudkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ia dibuktikan dengan keputusan-keputusan perlawanan yang mereka cetakkan dalam Piala AFF B16, walaupun hanya memperolehi satu kemenangan dan dua seri serta jumlah jaringan enam gol yang mereka perolehi telah mengambarkan yang Harimau Muda bermain secara positif.

Namun, ada beberapa aspek kelemahan yang perlu diperbaiki oleh pasukan kejurulatihan skuad Harimau Muda ini menjelang pusingan kelayakan Piala AFC B16 nanti.

Antaranya disiplin ketika bertahan secara berpasukan, konsentrasi setiap pemain dan kepercayaan kepada setiap pemain.

Ini boleh dilihat daripada statistik jaringan yang dibolosi dari kesilapan-kesilapan mudah yang dilakukan pemain-pemain muda negara. Mereka juga perlu cepat berfikir membuat keputusan untuk meletakkan diri mereka di posisi yang tepat supaya bentuk rantaian segi tiga atau segi empat sentiasa wujud.

Sekiranya elemen-elemen ini dapat diperbaiki oleh pasukan kejurulatihan skuad Harimau Muda negara, tidak mustahil pasukan kendalian Osmera itu mampu layak ke pusingan seterusnya dalam Piala AFC B17 nanti.

Penulis begitu percaya serta yakin dengan kemampuan pemain-pemain daripada Akademi Mokhtar Dahari dan Akademi Johor Darul Ta’zim itu untuk menjulang nama negara kerana mereka-mereka ini merupakan aset masa depan bola sepak Negara dengan menghadirkan kualiti serta indentiti bola sepak Malaysia.