Pemain beregu campuran badminton profesional negara, Chan Peng Soon, terpaksa mengambil keputusan sukar selaku ketua keluarga untuk berpisah dengan isteri dan empat orang anaknya.

Ini berikutan dia dan gandingannya, Goh Liu Ying, tiada pilihan lebih baik memandangkan peningkatan kes postif COVID-19 telah mengganggu program latihan dalam kem profesional mereka menjelang Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan.

Ini bermakna mereka akan mula menyertai kem latihan Program Road to Tokyo (RTT) skuad kebangsaan bermula bulan depan dan tidak akan dibenarkan untuk keluar daripada Akademi Badminton Malaysia (ABM) sepanjang tempoh latihan secara kuarantin itu.

"Kes (positif COVID-19) di Malaysia sekarang agak teruk dan hari ini sahaja melebihi 6,000 kes," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani.

"Kami telah menerima pesanan bahawa latihan di luar sudah tidak dibenarkan, jadi kami sedang berbincang dengan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) untuk menyertai kem latihan skuad negara.

"Ia masih belum ditentukan tetapi saya rasa ia akan bermula minggu depan.

"Liu Ying juga bersetuju kerana kami sudah tidak ada pilihan lain. Di luar sudah tidak boleh berlatih.

"Kami perlu menyertai BAM untuk berlatih ke Sukan Olimpik, tiada jalan lain.

"Ia bukan keputusan yang mudah buat saya sebagai ketua keluarga tetapi saya terpaksa melakukannya demi Sukan Olimpik.

"Isteri saya juga bersetuju kerana keadaan di luar juga amat berbahaya ketika ini.

"Jadi, dengan menyertai BAM mungkin lebih selamat, jadi dia bersetuju dengan keputusan itu," katanya.