Erling Haaland menyifatkan sepakan penalti pada masa kecederaan menentang Fulham sebagai 'salah satu detik paling gementar dalam hidup' ketika dia meledak gol untuk meletakkan Manchester City di puncak Liga Perdana Inggeris.

Kejayaan menyempurnakan sepakan penalti pemain Norway itu memberikan City kemenangan 2-1 di tempat sendiri semalam selepas mereka bermain selama 64 minit dengan 10 pemain kerana Joao Cancelo dilayangkan kad merah.

Haaland, yang bermula di bangku simpanan selepas terlepas dua perlawanan kerana kecederaan kaki, menggantikan Julian Alvarez pada minit ke-64 dan gol dibatalkan kerana ofsaid sebelum mengawal tekanan menyempurnakan jaringan ketika mengambil sepakan penalti.

Alvarez telah memberikan City kelebihan menerusi penyudah yang hebat, tetapi apabila Cancelo menjatuhkan Harry Wilson pada minit ke-26 untuk memberikan Fulham penalti dan menerima kad merah, polemik perlawanan berubah.

Andreas Pereira menyamakan kedudukan dari sepakan penalti, dan City tidak begitu bebas dalam serangan selepas itu.

Bagaimanapun, kehadiran Haaland dan Kevin De Bruyne memberi harapan kepada mereka, walaupun tandukan Haaland hasil hantaran lintang De Bruyne tersasar, gabungan itulah yang membawa kemenangan.

De Bruyne dijatuhkan, dan Haaland mengambil tanggungjawab menyempurnakan sepakan penalti ke arah sudut kiri yang hampir ditepis keluar penjaga gol Fulham, Bernd Leno.

Reaksi Haaland selepas tamat perlawanan, "Hebat. Saya cukup gementar. Ia adalah salah satu detik paling gementar dalam hidup saya, tetapi ia sangat hebat.

"Penalti pada minit terakhir, sudah tentu saya akan gugup. Tetapi ia adalah satu perasaan yang luar biasa. Saya tidak kisah bagaimana ia masuk, perkara penting ia menembusi gawang. Saya telah cedera selama seminggu , dan sangat penting untuk menang."