Legenda bola sepak Kelantan, Allahyarham Mohd Hashim Mustapha disifatkan sebagai pemain yang cukup berdisiplin semasa berada di atas padang.

Bekas rakan sepasukannya, Mohamad Ausri Husin, berkata setiap kali sesi latihan, pemain yang cukup sinonim dengan jersi nombor 10 itu akan tiba lebih awal di padang.

"Kalau latihan bermula jam 5 petang, arwah akan masuk padang 15 minit lebih awal. Biasanya dia akan berlari dan memanaskan badan lebih awal sebelum mengikuti latihan sebenar," katanya semasa pengebumian Mohd Hashim di Tanah Perkuburan Islam Chapi, Kampung Baung Bayam hari ini.

Mohd Hashim meninggal dunia pada jam 10.25 malam semalam kerana komplikasi kencing manis di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Mohamad Ausri berkata, Allahyarham turut disifatkan sebagai seorang yang suka bergurau.

"Arwah tiada galang gantinya dan pemergian ini satu kehilangan besar buat arena bola sepak Kelantan dan Malaysia," katanya.

Sementara itu, Mohd Risham Mustapha, 51, mendedahkan, Allahyarham abangnya cukup cakna dan menyayangi seluruh ahli keluarga.

"Arwah merupakan tonggak yang banyak membantu keluarga dan suka menolong adik-adik lain.

"Kehidupan kami sekeluarga agak susah satu masa dahulu dan abanglah yang banyak membantu," katanya.

Bekas Pengurus Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim pula menyifatkan pemergian Mohd Hashim sebagai satu kehilangan besar buat arena bola sepak negeri itu dan kebangsaan.

"Semasa menjadi penolong jurulatih Kelantan, arwah seorang yang komited dalam melaksanakan tugas.

"Ketika kami bertemu, arwah begitu bersemangat dan memberitahu sedia kembali ke arena bola sepak apabila sihat sepenuhnya," katanya.

Sebelum itu, lebih 1,000 ahli keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai serta bekas tonggak pasukan Kelantan hadir di Masjid Al-Husna Kampung Baung Bayam di sini untuk solat jenazah.

Jenazah Mohd Hashim selamat dikebumikan pada jam 10.35 pagi tadi.

Kredit: Sinar Harian