Ketua jurulatih skuad kebangsaan Amerika Syarikat, Greg Berhalter, berkata pemecatan Thomas Tuchel daripada jawatan pengurus Chelsea akan memberikan sesuatu yang positif buat pemain sayap, Christan Pulisic.

Berhalter berharap pengurus baru The Blues, Graham Potter, dapat mengubah nasib pemain itu untuk diturunkan dengan lebih kerap selepas dinafikan daripada melakukannya sepanjang di bawah bimbingan Tuchel.

Pulisic, yang dihalang daripada meninggalkan Chelsea sepanjang musim panas lalu, bergelut untuk mendapatkan minit permainan, di mana pemain kebangsaan Amerika Syarikat itu hanya memulakan satu perlawanan buat The Blues sepanjang musim ini selain diletakkan di posisi pertahanan sayap kanan sewaktu diturunkan sebagai pemain gantian ketika menentang Southampton.

Berhalter berkata: "Saya bukanlah seorang yang gembira apabila ada seseorang kehilangan kerja tetapi jika perkara itu akan membuka lebih peluang buat Christian, maka ia sesuatu yang positif.

"Dia seorang pemain yang sudah terbukti boleh bermain di tahap tertinggi. Kita hanya perlu tunggu dan lihat," katanya.