Massimiliano Allegri menegaskan dia mempunyai sebab untuk bersikap optimis di Juventus kerana dia menuntut penamat yang kukuh untuk tahun ini dan menolak membuat pembelian terdesak.

Juventus akan bertandang ke menentang Bologna pada awal pagi esok sebelum menamatkan 2021 dengan perlawanan menentang Cagliari di tempat sendiri, Rabu depan.

Mereka akan menyambung semula perjuangan dengan menghadapi Napoli dan Roma pada tahun depan, satu ujian pembukaan pada awal tahun buat mereka yang telah bergelut sepanjang musim ini.



Wujud harapan yang tinggi untuk meraih Scudetto sebaik Allegri kembali ke Turin pada musim panas lalu selepas percubaan yang gagal di bawah kepimpinan Andrea Pirlo, musim lalu.




Berbanding mencabar kedudukan teratas, Juventus sekadar menghuni tangga ketujuh dan tercicir 12 mata di belakang pendahulu, Inter. Allegri memenangi lima Scudetto bersama Juve dalam penggal pertamanya sebagai pengurus tetapi kali ini memiliki alasan untuk ditebus.

Ditanya apakah mungkin ada sinar di hujung terowong, Allegri memberitahu sidang akhbar: "Saya melihatnya, walaupun ketika ini kami ketinggalan daripada segi kedudukan.

"Kami perlu berusaha untuk bertambah baik. Saya sangat gembira dengan pilihan yang saya buat. Dalam skuad ini, terdapat pemain yang kurang berpengalaman untuk menang dan ia memerlukan masa untuk melatih mereka.

"Saya minta maaf kami kekurangan mata daripada yang sepatut kami mampu pungut."

Sambil merujuk kepada rentetan perlawanan kurang bermaya musim ini, dia menambah: "Kami bukan sahaja patut mengutip dua mata daripada perlawanan dengan Verona, Udinese, Sassuolo, Empoli dan Venezia; dua daripada 15 mata adalah sangat sedikit."

Begitupun, Bianconeri enggan memborong pemain sebagai jalan keluar daripada masalah itu.

Skuadnya mempunyai berkualiti tinggi termasuk beberapa pemenang Euro 2020, dan ia adalah mengenai bagaimana untuk mempamerkan persembahan terbaik daripada sumber yang ada.

“Kami ada berbincang di peringkat pengurusan kelab dan menilainya setiap hari, tetapi pasaran perpindahan tidak akan menjadi penyelesaian kepada masalah gol,” katanya.

"Skuad ini sudah cukup baik tetapi kami perlu bertambah baik."

Dia menegaskan tumpuannya ketika ini bukan tiket Liga Juara-Juara, sebaliknya lebih kepada objektif jangka pendek.

“Pada bulan depan, kami perlu melawan Napoli dan Roma, ia adalah dua langkah penting,” tambahnya.

“Kami perlu bersedia.

"Kami perlu memahami kesilapan sendiri dan menajamkan penyudah. Kami mesti melakukan yang terbaik, kemudian beraksi di bahagian kedua musim ini dengan cara yang terbaik. Kami perlu bekerja dengan yakin, kami masih mempunyai 21 perlawanan untuk memperbaiki kedudukan."