Pemangku ketua jurulatih PDRM FC, Razak Jamaadi, menyambut baik keputusan Malaysian Football League (MFL) memansuhkan peraturan jaringan tempat lawan atau 'away goal rules' selaras perubahan yang dilaksanakan UEFA dan AFC.

Bagi pengendali berusia 58 tahun itu, pemansuhan peraturan away goal akan menjadikan perlawanan lebih seimbang dan tidak memberikan kelebihan selesa kepada mana-mana pasukan.

Jelas Razak lagi, pasukan juga tidak akan berdepan sebarang tekanan sama ada beraksi di tempat sendiri atau pun tempat lawan.

"Saya bersetuju dengan tindakan MFL kerana dengan adanya jaringan di tempat lawan, kekecewaan buat pasukan yang tewas kerana bakal menghadapi perlawanan lebih sukar ketika aksi timbal balik," kata Razak.

"Dengan format baru, perlawanan lebih terbuka, dan pasukan yang menjaringkan gol lebih banyak akan mendapatkan kemenangan."

Razak dalam perkembangan sama turut memaklumkan banyak 'kerja rumah' perlu dilaksanakannya sebaik sahaja mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih daripada pengendali sebelum ini, Wan Rohaimi Wan Ismail.

Razak yang juga Pengarah Teknikal PDRM FC mengakui pihak pengurusan kini sedang meneliti beberapa calon untuk mengisi jawatan ketua jurulatih The Cops musim 2023.

"Kami akan kembali kepada asas dan melakukan yang terbaik untuk pasukan. Buat masa ini, kami sedang meneliti calon untuk mengisi jawatan jurulatih PDRM bagi musim depan."