Paul Scholes melepaskan kritikan terhadap Antony dan Jadon Sancho berikutan Manchester United berdepan kesukaran dalam aksi Liga Europa menentang Omonia Nicosia.

The Red Devils menewaskan kelab Cyprus, Omonia 3-2 awal pagi tadi Khamis apabila mereka bangkit daripada ketinggalan untuk memperoleh tiga mata.

Karim Ansarifard membuka jaringan pada minit ke-34 dan mendahului pada masa rehat.

Bagaimanapun, pasukan bimbingan Erik ten Hag membalas dengan tiga gol pada separuh masa kedua. Marcus Rashford menjaringkan dua gol selepas hadir sebagai pemain simpanan manakala Anthony Martial turut mencatatkan gol.

Ten Hag berkata dalam temu bual selepas perlawanan bahawa pasukannya 'terlalu statik' pada separuh masa pertama, dan Scholes bersetuju dan menyerlahkan persembahan Antony dan Sancho.



"Dia betul tentang pemain sayap yang statik," katanya di BT Sport.

"Sancho tidak melakukan larian yang secukupnya. Dia memerlukan bek kiri yang pantas atau penyerang tengah sesuai dengan corak permainnnya dan dia gagal bermain cemerlang dalam perlawanan ini."

Mengenai Antony, legenda Man United itu turut mengkritik dan berkata, "Antony turut kurang cemerlang, dia tidak melakukan larian yang berkesan. Dia nampaknya seperti pemain yang memiliki kemahiran yang mudah dibaca pemain lawan.

"Dia sentiasa melakukan perkara yang sama, cuba mendapatkan jaringan dari sayap kanan atau melakukan hantaran ke belakang. Saya berpendapat dia perlu berkembang lagi. Ia masih awal untuknya, kami mengetahuinya."

Antony telah menunjukkan potensinya berikutan perpindahan musim panas dari Ajax.

Dia menjaringkan gol pada penampilan sulungnya menentang Arsenal dan menjaringkan gol dalam kekalahan 6-3 pasukannya kepada Manchester City hujung minggu lalu.

Sancho, sebaliknya, kelihatan mengagumkan di bawah Ten Hag musim ini, mengumpul tiga gol dalam semua pertandingan.