Penjaga gol Juventus, Wojciech Szczesny, berharap kedatangan Paul Pogba dan Angel Di Maria akan memberikan impak berguna buat barisan pemain muda pasukan itu.

Pogba dan Di Maria tiba di Juve secara perpindahan percuma selepas kontrak masing-masing dengan Manchester United dan Paris Saint-Germain (PSG) tamat.

Pemain kebangsaan Perancis, Pogba, kembali ke pangkuan kelab itu selepas pernah mewakilinya dari 2012 hingga 2016, di mana dia memenangi gelaran Serie A dalam kesemua empat musim bersama pasukan Turin berkenaan.

Pada 2016, dia menjadi pemain termahal dunia apabila United bersetuju mengeluarkan perbelanjaan sebanyak £89 juta (RM478.67 juta) untuk membawanya pulang ke Manchester tetapi dia kini kembali menyertai pasukan gergasi Itali berkenaan selepas enam musim mengecewakan di England.

Di Maria juga melewati waktu hambar sewaktu di United sebelum menyertai PSG, di mana dia menghabiskan tujuh musim di ibu kota Perancis itu sebelum menyertai Bianconeri awal bulan ini.

Bercakap kepada Sky Sport mengenai pengaruh yang boleh dibawa dua pemain baru itu, Szczesny berkata: "Dua pemain yang amat berpengalaman menyertai kami dan ramai pemain muda perlu belajar daripada mereka.

"Apa yang menjadi lebih baik adalah mereka juga mempunyai kualiti yang amat luar biasa dan sumbangan mereka di atas padang akan menjadi amat penting.

"Saya benar-benar berharap meraka akan dapat membantu kami," katanya.