Pemain tengah Barcelona, ​​Miralem Pjanic, berharap dapat menghidupkan semula kariernya di Camp Nou selepas diberi peluang beraksi di bawah pengurus, Xavi, yang dia anggap sebagai suri tauladan.

Masa depan Pjanic di Barca hampir sampai di penghujung apabila dia dipinjamkan ke Besiktas musim lalu selepas bergelut untuk mengekalkan tempat dalam kesebelasan sejak tiba dari Juventus pada 2020.

Pelantikan Xavi untuk mengambil alih tugas Ronald Koeman nampaknya memberi nafas baru buatnya apabila menjadi sebahagian daripada rancangan bekas pemain tengah legenda itu bagi musim akan datang.

Pemain berusia 32 tahun itu terbabit dalam perlawanan persahabatan dengan Olot baru-baru ini dan ia merupakan sebahagian daripada siri jelajah pra-musim mereka di Amerika Syarikat (AS) biarpun langsung tidak diturunkan ketika menentang Real Madrid.

Pjanic masih mempunyai kontrak selama dua tahun teruja sekali gus berpeluang bekerjasama dengan Xavi yang menikmati enam bulan pertama yang positif musim lalu bagi menduduki tempat kedua LaLiga.

"Xavi sentiasa menjadi rujukan sebagai pemain tengah untuk saya," katanya kepada pemberita.





"Saya mengikutinya dengan penuh kagum. Bagi saya, dia adalah antara pemain tengah terbaik sepanjang zaman di dunia, jadi peluang bekerja dengannya adalah sangat istimewa.

"Dalam dua tahun kebelakangan ini, saya bergelut dengan kecederaan, COVID-19 dan dipinjamkan. Tetapi kini berbeza. Saya yakin saya mampu mengembalikan tahap terbaik saya. Pada musim panas ini saya telah bekerja dengan jurulatih fizikal."

Ditanya mengenai masa depan Barcanya, Pjanic menambah: "Saya mempunyai kontrak hingga 2024. Tahun ini kami akan bekerjasama dengan guru baru kami, Xavi. Saya harap ia akan menjadi musim yang sangat baik buat pasukan dan saya."