Pemilik pingat emas Sukan SEA Vietnam 2021, Peck Yen Wei, mengesahkan bahawa sudah tiba masanya untuk menggantung raket buat sementara waktu.

Yen Wei menjelaskan bahawa dia tiada perancangan untuk menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa buat masa ini selepas dipisahkan dengan Chen Tang Jie hingga mendorongnya meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), minggu lalu.

"Saya meninggalkan BAM kerana tidak dapat gandingan untuk mencabar tempat dalam Sukan Olimpik 2024.

"BAM sudah berikan kami peluang tapi kami gagal menyahutnya.

"Jadi ini satu alasan yang kukuh untuk meninggalkan BAM," katanya di Nadi Arena.




Dan dia kini lebih senang menumpukan perhatian kepada karier jurulatih bagi Akademi Chan Peng Soon (CPS) yang bertapak di Petaling Jaya.

"Selepas ini saya tidak akan bertanding dalam kejohanan dan akan tumpukan perhatian kepada bidang kejurulatihan.

"Akademi CPS sudah bertapak di Pulau Pinang tetapi ini yang pertama di Kuala Lumpur.

"Bagi saya bidang kejurulatihan sangat menyeronokkan kerana memberikan suasana yang baru buat saya.

"Tapi bukan senang untuk menjadi seorang jurulatih kerana perlu memikirkan tentang cara meningkatkan prestasi pemain," katanya.