Novak Djokovic menewaskan Stefanos Tsitsipas menerusi tie-break set akhir yang penuh dramatik untuk mara ke final Paris Masters semalam.

Rekod kemenangan 12 perlawanan Djokovic kelihatan mungkin terhenti apabila Tsitsipas mengheret perlawanan ke tie break di set penentuan, dengan pemain Greece itu telah berjuang untuk bersaing selepas tewas set pembukaan.

Bagaimanapun, juara grand slam 21 kali itu menampilkan persembahan yang terbaik apabila memenangi empat mata terakhir perlawanan untuk melakar kemenangan 6-2, 3-6, 7-6 (7-4).

Pemain Serbia itu, yang kini akan mengambil bahagian dalam final Masters 1000 yang ke-56 esok, memilih untuk memuji Tsitsipas atas peranannya dalam pertemuan mendebarkan berikutan kemenangan itu.

“Cukup manis, jelas sekali, apabila anda memenangi perlawanan seperti ini menentang salah seorang pemain terbaik di dunia,” kata Djokovic.

"Saya fikir saya memulakan perlawanan dengan sangat baik, sekali lagi, pukulan yang hebat, seperti semalam dalam suku akhir. Saya mempunyai peluang pada awal babak kedua, saya tidak mematahkan servisnya. Saya fikir dia telah meningkatkan tahap tenisnya.

"Kami mengharungi pertarungan yang seimbang sehingga ke mata terakhir, sehingga pukulan terakhir. Beberapa mata yang luar biasa menjelang penghujung. Saya sangat gembira dapat mengatasi cabaran ini."

Djokovic bakal bertemu wakil Denmark, Holger Rune di final selepas mengatasi Auger-Aliassime 6-4, 6-2 dalam satu lagi aksi separuh akhir.