Sabah meraikan kejayaan dijulang juara keseluruhan Para Sukan Malaysia (Sukma) Ke-20 yang melabuhkan tirai, semalam.

Dengan pungutan 54 pingat emas, 36 perak dan 35 gangsa, negeri Borneo itu melepasi sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan pada awal kempen sekali gus muncul juara keseluruhan edisi 2022.

"Kami sangat gembira dan tidak menjangka tahun ini.

"Kami syukur dapat capai impian pada tahun ini. Ini adalah satu sejarah buat Sabah khususnya atlet para Sabah.

"Kami kekurangan atlet bocchia. Dalam kejohanan akan datang, kami mahu menurunkan atlet dalam setiap kategori yang dipertandingkan," kata Timbalan Ketua Kontinjen Sabah, Apui Jan.

Atlet olahraga Melaka, Mohammad Zikri Zakaria, dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik selepas mengumpul tiga pingat emas selain memperbaharui tiga rekod kejohanan.

"Saya tujukan kemenangan ini untuk keluarga yang datang dari jauh untuk memberi sokongan termasuk barisan jurulatih.

"Syukur dapat jumpa kawan-kawan dari lain negeri dan kawan baru," katanya pula.

Sementara itu, Anugerah Atlet Wanita Terbaik dimiliki pemanah compound dari Perak, Nur Jannaton Abdul Jalil, yang menggondol tiga emas.

"Saya rasa tidak percaya kerana tidak berangan untuk memenangi emas, saya datang ke sini dengan memikirkan amanah yang diberikan, harapan yang diletakkan negeri saya.

"Saya masih fikirkan apa yang telah lakukan hingga dapat memenangi emas," katanya.





Dalam pada itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkongsi pandangan mengenai pencarian bakat baru selain penganjuran Para Sukma.

"Kami berharap Para Sukma kali ini dapat ubah landskap di negeri-negeri agar menyediakan atlet lebih awal dan kejohanan yang setaraf Para Sukma.

"Kami telah mengenal pasti beberapa atlet yang boleh dimasukkan ke dalam kontinjen ke Sukan Para Asian Kemboja sebagai batu loncatan.

"Ia sebagai langkah awal buat membawa atlet negeri ke peringkat antarabangsa," katanya.