Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon, berharap dua pemain naturalisasi baru Harimau Malaya, Paulo Josue dan Endrick dos Santos, dapat membantu jentera serangan pasukannya menjelang aksi persahabatan antarabangsa tier 1 menentang Uzbekistan, Khamis ini.

Kedua-dua penyerang berkenaan menerima panggilan kebangsaan pertama mereka untuk kini bersama 25 pemain lain dalam kem latihan pusat di Johor.

Bakal diuji secara fizikal oleh lawan di ranking ke-135 dunia itu, Pan-gon berharap kedua-dua pemain berkenaan dapat memenuhi tuntutan yang diperlukan skuad kebangsaan tetapi mengaku enggan memberikan terlalu banyak tekanan buat mereka.

Kemenangan dalam perlawanan itu juga sudah pasti akan membantu meningkatkan ranking skuad negara, yang kini berada di tangga ke-145 dunia.

"Kami memanggil Paulo Josue dan Endrick dan kami meletakkan jangkaan yang amat tinggi buat mereka," kata Pan-gon seperti yang dipetik Astro Arena.

"Saya fikir mereka dapat membantu enjin serangan kami tetapi kita tidak tahu lagi dan kami tidak mahu terlalu memberikan tekanan buat mereka.

"Kami akan mencuba untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan pasukan ini dan untuk mereka menyerlahkan potensi sepenuhnya.

"Mereka sudah membuktikan keupayaan dalam saingan liga dan saya fikir semua orang tahu kualiti yang dimiliki mereka tetapi semua penyokong dan diri saya sendiri perlu sedikit bersabar," katanya.