Penyerang Napoli, Victor Osimhen, menyifatkan kecederaan muka yang dialaminya ketika menentang Inter musim lalu bagaikan kecederaan yang hampir meragut nyawanya.

Pemain antarabangsa Nigeria itu tercedera ketika berlaga kepala dengan pertahanan Nerazzurri, Milan Skriniar, ketika Inter menang 3-2 ke atas Napoli di San Siro pada November tahun lalu.

Osimhen, yang telah dikaitkan dengan kelab seperti Arsenal dan Manchester United dalam beberapa minggu kebelakangan ini, memerlukan pembedahan di mukanya dan hanya kembali beraksi pada pertengahan Januari lalu.

Walaupun terpaksa berehat lama, pemain berusia 23 tahun itu masih menyumbangkan 18 gol dalam 32 penampilan bersama pasukan kendalian Luciano Spalletti berkenaan dalam semua pertandingan musim lalu.

14 gol liga mengangkat Osimhen sebagai pemain Nigeria pertama yang mencapai dua angka dalam dua musim Serie A berturut-turut.

Dia juga muncul pemain dari benua Afrika keempat yang mencapai kejayaan dalam liga utama Itali selepas George Weah bersama Milan, Samuel Eto'o (Inter) dan Mohamed Salah (Roma).



Bercakap kepada Wazobia FM, Osimhen memperincikan kecederaannya ketika menentang Inter itu selain mentaliti yang diperlukan untuk bangkit daripada kejadian tersebut.

"Apabila saya sampai ke hospital, saya memberitahu doktor saya bahawa saya akan berehat maksimum selama dua minggu," katanya.

"Apabila keputusan imbasan keluar, Banyak tulang muka saya yang patah hingga perlu dikeluarkan dan dibaiki. Saya mempunyai 18 skru di bawah rahang saya. Saya telah melalui banyak proses.

"Saya tidak boleh tidur, saya tidak boleh makan kerana menanggung kesakitan. Tetapi di penghujung hari, saya adalah seekor singa dan saya mempunyai kekuatan mental.

"Di dalam fikiran saya ini, saya sudah pun meletakkan sasaran kepulangan saya selepas selesai pembedahan."

Osimhen kembali untuk membantu kemenangan 2-0 di Bologna di mana Hirving Lozano menjaringkan kedua-dua gol itu untuk Napoli menamatkan musim lalu di tangga ketiga Serie A.