Neymar mendedahkan bahawa dia lebih memilih untuk menyertai Liga Utama Amerika Syarikat (MLS) daripada pulang ke Brazil sebelum bersara sebagai pemain.

Bintang Paris Saint-Germain (PSG) berusia 30 tahun itu masih memiliki kontrak sehingga 2025 bersama kelab berkenaan, di mana dia telah menjaringkan 91 gol daripada 132 perlawanan sejak tiba di ibu kota Perancis itu menerusi perpindahan blokbuster daripada Barcelona pada 2017.

Dia menjaringkan gol pertama sejak pulih daripada kecederaan buku lali tetapi gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika PSG tewas megejut 1-3 kepada Nantes hujung minggu lalu.

Bercakap dalam rancangan podcast, Fenomenos, Neymar berkata: "Saya tidak tahu sama ada saya akan kembali beraksi di Brazil atau tidak. Saya agak ragu-ragu tentang perkara itu.

"Saya sebenarnya mahu bermain di Amerka Syarikat (AS). Saya mahu bermain di sana sekurang-kurangnya setahun."

Neymar turut bergurau mengenai musim pendek MLS dengan berkata: "Musim di sana lebih pendek, jadi saya memiliki tiga bulan untuk bercuti."

Neymar turut berkata bahawa dia tidak tahu selama mana dia dapat bermain tetapi mahu meneruskannya selagi kesihatan mentalnya membenarkan perkara itu.

"Saya bergurau dengan rakan bahawa saya akan bersara apabila berumur 32 tahun. Tetapi itu sekadar gurauan. Saya tidak tahu.

"Sejujurnya, saya akan bermain sehingga mental saya penat, seandainya kesihatan mental saya baik dan tubuh saya juga begitu.

"Secara fizikalnya, saya fikir saya mampu bermain untuk beberapa tahun lagi tetapi kesihatan mental saya adalah perkara paling penting," katanya lagi.