Bekas ejen Neymar, Wagner Ribiero, percaya bintang Brazil itu tidak akan meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) kerana mengimpikan untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bersama kelab itu.

Pemain berusia 30 tahun itu masih memiliki kontrak di Paris sehingga 2025 tetapi terdapat perkhabaran bahawa PSG bersedia untuk melepaskannya selepas mendapatkan Messi tahun lalu dan turut memperbaharui kontrak Kylian Mbappe baru-baru ini.

Berita mengenai kepulangannya ke Barcelona juga sudah lama reda dan Neymar juga mula menyuarakan minatnya untuk beraksi di Amerika Syarikat satu hari nanti.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai masa depan Neymar, Ribiero yakin bekas bintang Santos itu tidak memikirkan untuk meninggalkan Perancis kerana dia sedang menyasarkan untuk memenangi gelaran UCL bersama PSG.

"Neymar mempunyai impian untuk menjadi Juara UCL bersama PSG," katanya kepada Goal.

"Di sebalik segala khabar angin bahawa dia mungkin akan berpindah, dia amat bermotivasi dan tidak akan berhenti sehingga dia mendapatkannya.



Sejak Neymar menyertai PSG pada 2017, pasukan gergasi Perancis itu tersingkir di peringkat suku akhir UCL sebanyak tiga kali daripada lima musi selain menamatkan saingan selaku naib juara edisi 2019-20 dan layak ke separuh akhir musim berikutnya.

Sepanjang tempoh itu, Neymar telah menghasilkan 30 gol dan 13 bantuan jaringan dalam kejohanan Eropah berkenaan.