Neymar kini boleh memberi tumpuan terhadap kariernya apabila isu luar padang membabitkan bonus perpindahannya ke Barcelona telah digugurkan.

Pendakwa Raya Sepanyol telah menggugurkan tuduhan rasuah dan penipuan terhadap bekas pemain Barcelona itu.

Bintang Paris Saint-Germain (PSG) dan Brazil itu merupakan salah seorang daripada beberapa individu yang dituduh dalam perbicaraan berkaitan perpindahannya daripada Santos ke Barcelona pada 2013.

Antara defendan lain dalam kes itu termasuk ibu bapa Neymar, dua kelab yang terlibat dalam perjanjian berkenaan, bekas Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu dan Sandro Rosell, termasuk bekas presiden Santos, Odilio Rodrigues.

Pihak pendakwaan telah menuntut hukuman penjara dua tahun ke atas Neymar selain denda €10 juta (RM47j) sebelum menarik balik kesemua pertuduhan berkenaan itu, awal pagi tadi.

Firma pelaburan, DIS -- yang memiliki 40 peratus hak ke atas bintang Brazil itu ketika dia masih di Santos -- menjelaskan bahawa mereka bukannya menikmati jumlah bayaran yang tinggi daripada perjanjian berkenaan memandangkan nilainya telah merosot.

Barcelona bersetuju untuk mengikat Neymar pada 2011 menerusi perjanjian selama dua tahun yang menelan belanja €57.1j (RM268.7j) sementara €40j (RM188.2j) daripadanya disalurkan kepada pemain itu sendiri dan keluarganya.

Ini bermakna DIS hanya menerima komisen daripada baki €17.1j (RM80.4j) yang dibayar kepada Santos.