Bintang Los Angeles Lakers, LeBron James, berkata dia mengekalkan 'keinginan membakar untuk memenangi trofi' menjelang pembukaan saingan NBA musim 2021-22 .

James memasuki musim ke-19 ketika berusia 36 tahun berikutan musim 2020-21 yang kurang cemerlang, di mana Lakers gagal meneruskan saingan dalam playoff selepas tersingkir di pusingan awal.

Juara NBA empat kali dan MVP itu terlepas 27 perlawanan musim lalu ekoran kecederaan.

Membuat persiapan bagi musim baru, James menegaskan dia di tahap terbaik, selepas mengatasi kecederaan dalam usaha mengejar kejuaraan buat kali kelima.

"Saya masih mempunyai keinginan yang kuat untuk terus menang, semoga saya dapat membawa beberapa piala di akhir musim," kata James kepada ESPN.

"Itu selalu menjadi objektif saya. Mudah-mudahan saya dapat meletakkan diri saya dalam kedudukan di mana saya dapat melakukannya hingga akhir musim.

Dia berkata lagi "Saya hanya seorang pemain yang berazam tinggi, sentiasa cuba melakukan yang terbaik untuk bermain di tahap tertinggi.

"Saya tidak takut berasa tidak selesa dengan apa-apa untuk mendapatkan tahap fizikal yang terbaik."