Giovanni Di Lorenzo percaya Napoli kini adalah pencabar utama dalam kancah Serie A sambil menuntut pemain-pemain muda agar meneruskan usaha mereka untuk kekal di puncak.

Skuad Partenopei telah menghasilkan lima kemenangan dan dua seri musim ini dan dan turut beraksi hebat dalam Liga Juara-Juara (UCL) apabila menewaskan kedua-dua Liverpool dan Rangers.

Bercakap kepada Radio Kiss Kiss Napoli menjelang pertemuan dengan Torino dan Ajax, Di Lorenzo menuntut rakan sepasukannya agar sentiasa bersedia untuk mengharungi jadual padat selepas ini.

“Ramai yang mengatakan bahawa Napoli ini tidak mampu merebut gelaran UCL tetapi sekarang mereka memberitahu pula bahawa kami adalah pencabar Scudetto," katanya dipetik daripada Football Italia.

"Kami tidak peduli dengan kata-kata seumpama itu, kami belum mencapai apa-apa lagi tetapi kami mempunyai banyak semangat."

Pertahanan Itali berusia 29 tahun itu jelas seronok dengan beberapa muka baru seperti Khvicha Kvaratskhelia dan Giacomo Raspadori yang bukan sahaja segera menyesuaikan diri, malah mampu mengangkat permainan mereka ke tahap yang lebih tinggi.

“Skuad hebat ini bekerjasama dan berkongsi kehidupan setiap saat. Pemain muda berbakat telah dipancing dan kami telah memulakan musim dengan cara yang sangat baik, kami mesti teruskan seperti ini. Memandangkan kami akan beraksi setiap tiga hari, oleh itu kami memerlukan sumbangan semua orang.

“Raspadori? Dia menempuhi detik keemasan dan ia sudah reda, dia hanya perlu meneruskannya prestasinya, segalanya bergantung kepada dirinya sendiri.”