ARMINIA 0 BAYERN 3

Julian Nagelsmann teruja untuk menghadapi Borussia Dortmund yang mampu menentukan gelaran Bundesliga musim ini selepas Bayern Munich di ambang kejuaraan buat sekian kalinya dengan kemenangan 3-0 di Arminia Bielefeld, tengah malam tadi.



Bayern bangkit daripada kekecewaan tersingkir di tangan Villarreal dalam Liga Juara-Juara (UCL) hasil sentuhan pemusnah Robert Lewandowski, Serge Gnabry dan Jamal Musiala untuk memastikan mata penuh ketika menentang kelab yang diancam penyingkiran itu.

Ini bermakna Bayern kini mempunyai kelebihan sembilan mata di depan Dortmund untuk menguasai puncak liga dengan baki empat perlawanan lagi dan berpeluang menjamin kejuaraan yang didominasi sejak 2013 itu dengan kemenangan di Allianz Arena, Ahad depan.

"Kami memang patut menang dan ia penting buat kami sebagai bekalan perlawanan getir menentang Dortmund di tempat sendiri kelak," kata pengurus itu dalam petikan yang dilaporkan oleh laman web rasmi Bayern.

"Malah, ia tidak berlaku dengan kerap. Kami ternanti-nantikannya."

Dalam masa yang sama, Ketua Eksekutif Bayern, Oliver Kahn, menegaskan kelab itu amat yakin dengan kewibawaan Nagelsmann untuk memacu pasukan selepas bekas pengendali RB Leipzig berusia 34 tahun tersebut menerima ugutan bunuh daripada peminat gara-gara gagal melepasi rintangan Villareal, Rabu lalu.





Joshua Kimmich dari Bayern pula menambah: "Aksi separuh masa pertama agak bagus, tetapi dalam babak kedua kami sedikit perlahan.

"Kami kerap membenarkan serangan balas menerusi hantaran jauh. Kami patut adalah kemenangan yang wajar.

"Kami pasti ingin memastikan kejuaraan ketika bertemu Dortmund di tempat sendiri minggu depan. Ia satu perlawanan istimewa untuk kami dan Bundesliga keseluruhannya. Jelas sekali sekali merebut trofi merupakan matlamat utama kami."