Pengendali baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain, menghargai kuasa penuh yang diberikan kepadanya oleh kelab dalam pemilihan semua pemain bagi membentuk pasukan bagi musim 2023.

Bagaimanapun, menurutnya Sang Kenari masih memerlukan masa untuk menjadi sebuah pasukan yang mampu memberikan cabaran apabila membawa masuk ramai pemain muda untuk digandingkan bersama pemain berpengalaman.

"Saya ada cara sendiri daripada segi taktikal berdasarkan pemain yang ada.

"Saya berterima kasih kepada pengurusan kerana memberikan sokongan 100 peratus kepercayaan daripada segi pemilihan pemain dan pengurusan merealisasikan apa yang saya minta. Satu tugas mudah buat saya dengan pemilihan pemain dengan pemain yang saya mahu.

"Pemain yang kami pilih ini, kami tahu ada kualiti tetapi (sama ada) hebat atau tidak, perlawanan sebenar yang akan menentukan sebuah pasukan itu," katanya ketika ditemui pemberita di Padang MADA, semalam.



Dia berkata demikian pada sesi latihan pertama KDA FC musim 2023 dengan kehadiran hampir semua pemain tempatan termasuk seorang import baharu, Amirbek Juraboev.




Namun, latihan tersebut tidak melibatkan pemain yang masih bersama skuad kebangsaan iaitu, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi dan Lee Tuck, manakala Manuel Ott serta pemain import baharu lain akan tiba dalam dalam masa terdekat.

Mengulas mengenai kehadiran Lee Tuck pula, Nafuzi berkata, pemain berkenaan mampu membantu pasukan berdasarkan pengalaman luas dan komitmen tingginya yang sudah lama beraksi dalam Liga Malaysia.

"Lee Tuck adalah seorang pemain yang telah lama bersama dengan saya, serba boleh, boleh bermain di banyak posisi.

"Dia boleh membantu pasukan untuk menjadi lebih baik, seorang pemain lama dalam Liga Malaysia dan pernah menjadi kapten pasukan," katanya lagi.

Tambah Nafuzi, beliau percaya dengan kemampuan ramai pemain muda yang dibawa masuk pada musim ini kerana mempunyai kualiti, namun masa perlu diberikan bagi menyesuaikan diri dengan taktikal yang bakal diterapkan.

Kredit: Sinar Harian