Rafael Nadal menulis satu mesej penuh beremosi buat "teman dan seterunya", Roger Federer, selepas pemain legenda Switzerland itu mengesahkan perancangannya untuk bersara dalam masa terdekat.

Federer, 41, yang tidak pernah beraksi secara kompetitif sejak Kejohanan Wimbledon 2021, akan menggantung raket selepas tamat saingan Piala Laver di London minggu depan, yang akan menjadi penampilan terakhirnya di pentas kompetitif.

Pemenang 20 gelaran utama itu menikmati tempoh berseteru dengan Nadal hampir keseluruhan kariernya, di mana kedua-dua pemain legenda berkenaan pernah bertemu sebanyak 40 kali dan pemain Sepanyol itu memenangi 24 daripadanya berbanding 16 yang diungguli Federer.

Pertembungan Federer dan Nadal dalam final Kejohanan Wimbledon 2008 diktiraf ramai sebagai aksi tenis terhebat sepanjang zaman dan kedua-dua pemain itu akan menjadi rakan sepasukan mewakili Pasukan Eropah dalam saingan Piala Laver di The O2 bermula 23 September ini.

"Ke hadapan Roger, rakanku dan seteruku," tulis Nadal dalam Instagram.

"Saya berharap hari ini tidak akan tiba.

"Ia hari yang sedih buat saya secara peribadi dan kesemua peminat sukan di seluruh dunia. Saya pernah katakan kepada anda ketika kita berbincang mengenainya dan kini, ia telah tiba.

"Ia satu kegembiraan tetapi juga satu kebanggaan dan keistimewaan untuk berkongsi tahun-tahun ini bersama anda, melalui terlalu banyak momen luar biasa di dalam dan di luar gelanggang.

"Kita masih ada banyak momen untuk dikongsikan bersama pada masa akan datang, masih banyak perkara yang akan kita lakukan bersama, anda sedar perkara itu.

"Buat ketika ini, saya mendoakan kebahagian buat anda dan isteri, Mirka, anak-anak dan keluarga anda, dan nikmatilah apa yang akan tiba di hadapan anda. Kita akan berjumpa dalam Piala Laver di London," katanya.