Mason Mount melabel pemain baharu Chelsea, Raheem Sterling, sebagai 'pemenang' dan 'berpengalaman', yang boleh mengisi kekosongan kepimpinan dan membantu The Blues bersaing untuk merebut trofi dalam semua pertandingan.

Sterling tiba dari Manchester City dengan bayaran yang dilaporkan dalam lingkungan GBP45 semalam, ketika Chelsea mengumumkan pembelian pertama mereka sejak konsortium Todd Boehly memperoleh kelab itu.

Pemain antarabangsa England itu menyertai rakan sepasukan baharunya di Chelsea di Amerika Syarikat dalam jelajah pramusim mereka, setelah menandatangani perjanjian lima tahun dengan pasukan kendalian Thomas Tuchel.

Hanya Riyad Mahrez (24) dan Kevin De Bruyne (19) menjaringkan lebih banyak kali dalam semua pertandingan berbanding Sterling (17) musim lalu untuk City, tetapi Mount berkata ia bukan hanya kemampuan penyerang itu yang penting untuk Chelsea.

"Dia seorang lelaki yang hebat, pemain yang berpengalaman, profesional kelas atas," kata Mount kepada Sky Sports.

"Saya jelas bertuah dapat bermain dengannya sejak beberapa tahun lalu bersama England di mana dia pernah menjadi ketua pasukan, dan dia adalah seseorang yang telah berada di sana sejak sekian lama.

"Bila dia membuat penampilan sulung, 17, 18? Jadi, dia pemain terbaik dan saya telah belajar banyak daripadanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Bagi dia menyertai kami, ia hanya akan membawa tahap kami lebih tinggi, dia pastinya seseorang yang berusaha untuk tahap tinggi untuk menang dan itulah yang kami mahukan.

"Kami mahukan pemain-pemain di sekeliling kumpulan ini dan saya sangat teruja untuk melihatnya dan untuk dia berada di sini."