"Sukar tapi tiada yang mustahil."

Demikian tegas S. Balachandran yang kini menggalas amanah selaku ketua jurulatih Sarawak United yang baru bagi menggantikan B. Sathiananthan.

Balachandran berdepan misi sukar untuk memastikan Sarawak United kekal dalam divisyen teratas itu musim depan, bermula bertemu Melaka United Sabtu ini tatkala saingan liga berbaki 12 perlawanan.

Selepas 10 perlawanan Liga Super musim ini, Ngap Sayot, hanya mampu mencatat dua kemenangan, satu seri serta tujuh kali tewas.

Lebih perit, kelab Borneo itu kini muncul pasukan paling banyak dibolosi dengan jumlah 24 gol.

Bagi Balachandran, dia akan menggunakan segala pengalaman yang ada bagi merealisasikan impian dan hasrat penyokong untuk melihat pasukan kekal itu musim depan.

"Memang ini satu tugas berat tapi saya sedia sahut cabaran ini.

"Setiap jurulatih mempunyai percaturan tersendiri jadi saya akan ketengahkan perubahan.

"Kami akan berdepan Melaka pada minggu ini, mereka bermain baik dalam beberapa perlawanan terakhir.

"Kami perlu bangkit sebagai sebuah pasukan. Kami perlu berasa seperti keluarga dan gembira tanpa mengira apa yang berlaku," katanya.





Dalam perkembangan sama, pengendali kelahiran Sentul, Kuala Lumpur, itu turut meluahkan rasa sedih dengan khabar masalah kesihatan yang dialami Sathiananthan.

Balachandran berharap agar bekas pengendali kebangsaan itu segera sembuh dan kembali ke kancah bola sepak.

"Dia juga adalah presiden PJBM (Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia) dan seorang yang amat berdedikasi dalam bola sepak.

"Kami mendoakannya segera sembuh," katanya.