Minggu yang sibuk dan padat dengan kejayaan dalam kalendar sukan Malaysia hujung minggu lalu.

Bermula dengan kejayaan pasukan ragbi kebangsaan yang mencipta sejarah muncul juara Divisyen 1 Kejohanan Asia di Kelab Diraja Selangor, Johor Darul Ta'zim (JDT) pula garang di Shah Alam menumpaskan pasukan PKNS dalam aksi final yang dramatik.

Seterusnya, pasukan yang dibarisi Delia Arnold, Rachel Arnold dan S.Sivasangari memenangi Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia dengan menundukkan India hasil kemenangan 2-0.

Dan Zulfahmi Khairrudin hampir melengkapkan minggu manis buat kalendar sukan Malaysia, tetapi selekoh terakhir menafikan kejuaraan Zulfahmi untuk memenangi Kejuaran Superbike Dunia apabila sekadar berpuas hati mendapat tempat kedua di belakang pelumba Itali, Ayrton Badovini.

Masih dianggap membanggakan kerana Zulfahmi yang bermula di petak kelima, dan terus memintas untuk menjadi pendahulu saingan selama 8 pusingan. Sesiapa yang ada di Litar Sepang Ahad lalu, dapat saksikan Zulfahmi dan Badovini bersaing sengit dan saling memintas sebelum ke garisan penamat.

Skuasy berpasukan wanita pula terpaksa menggadai nyawa apabila sebelum mereka turun beraksi di Pusat Sukan Awam Xin Wu Tai, Taiwan, dilaporkan bandar itu mengalami gegaran gempa bumi sekuat 5.6 magnitude.

Ditambah barisan yang dihantar bukanlah barisan yang terbaik, kerana tanpa khidmat Nicol Ann David dan Low Wee Wern.

Cerita untuk pasukan ragbi kebangsaan pula tidak kurang menariknya. Bermain di divisyen satu buat kali pertama, pasukan ini hanya mensasarkan mahu sekadar kekal di divisyen satu, dengan sekurang-kurangnya mencatat satu kemenangan. Namun, mereka tewas mengejut kepada pasukan Filipina, tetapi kembali bangkit membuat kejutan yang mereka juga tidak menyangka, menewaskan Sri Lanka 42-17. Akhirnya pasukan bimbingan, Lee Nyuk Fah berjaya mencatat sejarah apabila membenam Singapura 40-20.

Dan tidak dilupakan bagaimana JDT mencipta sejarah menjulang Piala FA mereka yang pertama sepanjang penglibatan mereka dalam Liga Malaysia sejak transformasi besar-besaran yang dilakukan Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) pada penghujung 2012. Dalam masa 4 tahun transformasi yang dilakukan di bawah TMJ, pasukan Harimau Selatan ini telah berjaya merangkul enam piala, termasuk satu di peringkat Asia. Satu pencapaian yang amat membanggakan.

Minggu seperti ini tidak selalu berlaku buat Malaysia, tapi dengan siri kejayaan dalam pelbagai arena sukan menunjukkan Malaysia sebuah negara yang kompetitif dalam bidang sukan di mata dunia.

Saya juga berharap pasukan badminton kebangsaan yang kini berjuang di Kunshan, China mampu membawa kembali Piala Thomas ke bumi Malaysia untuk meneruskan siri kejayaan Malaysia di pentas antarabangsa.

Ayuh, berjuanglah dengan bangga wahai atlet-atlet Malaysia!