MILAN 2 JUVENTUS 0

Fikayo Tomori memberi amaran kepada Chelsea bahawa mereka bakal berdepan cabaran berbeza apabila bertandang ke kubu AC Milan, Rabu depan.


Jentera serangan The Blues yang diterajui Pierre-Emerick Aubameyang banyak mencetuskan masalah ke atas pertahanan Milan dalam kemenangan 3-0 di London pertengahan minggu ini.

Begitupun, Rossoneri segera kembali di landasan kemenangan yang menyaksikan Tomori menemui sentuhan penyudah disusuli jaringan Brahim Diaz ketika menewaskan seteru Serie A, Juventus, di San Siro awal pagi tadi.

Tomori mendedahkan tuan rumah kini merencana sesuatu untuk pertemuan timbal balik Kumpulan E, Liga Juara-Juara (UCL) itu.

"Oh ya, kami mengusahakannya dalam latihan (gerakan gol)!" selorohnya kepada Football Italia.



"Tidak, jelas sekali, saya agak bernasib baik tetapi saya gembira dengan gol itu, kami tidak bolos dan menang."

Malah, Tomori menegaskan Milan sudah menyedari kesilapan awal mereka apabila bertemu Chelsea dan berharap ia dapat dipadamkan.

"Jelas sekali, kami mempunyai satu lagi perlawanan menentang Chelsea dan kami mahu berusaha lebih keras lagi di atas padang, bukan sahaja daripada segi prestasi tetapi juga corak agresif.

"Kami mempunyai lebih keazaman pada hari ini dan akan mencuba untuk menang pada Selasa (awal pagi Rabu)."