Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan masih belum lagi menerima apa-apa berita berkenaan penarikan Petaling Jaya (PJ) City daripada bersaing dalam kancah Liga Super pada musim hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam, memberitahu berdasarkan pertemuan yang diadakan bersama barisan pengurusan kelab tersebut minggu lalu, PJ City masih mahu beraksi dalam kancah Liga Super pada musim depan.

“Setakat ini pihak MFL masih belum mendapat apa-apa pengesahan dari pengurusan kelab PJ City. Malah saya ada berjumpa sendiri dengan CEO dan barisan pengurusan kelab minggu lalu dan mereka masih mahu meneruskan penyertaan mereka dalam saingan Liga Malaysia.

“Bagaimanapun, jika benar mereka ingin menarik diri, MFL tidak mempunyai kuasa untuk menghalangnya. Buat masa ini, saya tidak mahu komen mengenai spekulasi itu, tetapi jika mereka benar-benar mahu menarik diri, sudah pasti kami akan dimaklumkan,” katanya pada sidang media di Majlis Pelancaran Setem Edisi Khas Piala Malaysia 2022 di Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer, serta dua bekas pemain kebangsaan, Datuk Santokh Singh dan Azman Adnan.

Sebelum ini media melaporkan PJ City FC dikhabarkan sedang mencari pembeli baharu bagi selepas penaja utama mereka ketika ini menarik diri daripada menaja pasukan itu pada musim depan.

Difahamkan setakat ini, kelab yang menggunakan 100 peratus pemain tempatan dalam Liga Malaysia (Liga M) itu sedang berusaha menyelamatkan pasukan daripada 'tutup kedai' pada musim 2023 dengan menjual kelab tersebut.





Selain PJ City, kelab UiTM FC turut dicanang antara pasukan yang berkemungkinan besar menarik diri daripada saingan Liga Malaysia, musim depan.

Dalam pada itu, sekiranya kedua-dua pasukan tersebut mahu menarik diri atau bakal memiliki pemilikan baharu, pihaknya akan memantau proses tersebut memandangkan prosesnya berbeza dengan kontrak pengambil alihan komersial,”

“Jika kelab itu mahu dijual, kami akan pantau proses pengambil alihan pasukan kerana dari sudut perundangan bola sepak ianya berbeza dengan kontrak pengambil alihan komersial,”

"Apa yang pasti, kami sentiasa berhubung dengan semua pasukan dan saya harap 16 pasukan Liga Super yang bertanding dapat membuat pengesahan penyertaan sebelum penghujung Disember depan," katanya.

Kredit: Sinar Harian