Lionel Messi menjangkakan Barcelona akan berkembang di bawah pimpinan Xavi kerana pengetahuan luasnya tentang bola sepak dan kelab itu.

Bekas pemain tengah itu dilantik sebagai pengurus baharu Barca bulan ini berikutan pemecatan Ronald Koeman.

Sepakan penalti daripada Memphis Depay menghadiahkan gergasi Catalan itu kemenangan 1-0 ke atas Espanyol dalam perlawanan pertama kendaliannya kelmarin.

Blaugrana melancarkan 11 percubaan tepat dalam aksi separuh masa pertama di Camp Nou itu –- jumlah terbanyak sepanjang 45 minit pembukaan dalam mana-mana perlawanan musim ini -– selain melebarkan 12 lagi percubaan sebelum wisel penamat, rekod tertinggi dalam perlawanan sulung LaLiga sebagai pengurus Barca sejak Frank Rijkaard melakukannya 17 kali pada Ogos 2002.




Barca akan diuji lagi menerusi pertembungan Liga Juara-Juara (UCL) dengan Benfica, awal pagi esok, lantas Messi percaya bekas rakan sepasukannya itu berupaya untuk mengembalikan gergasi Catalan berkenaan ke landasan yang tepat.

"Barcelona akan berkembang bersama Xavi. Dia seorang jurulatih yang berpengetahuan luas dan mengenali kelab itu dengan sempurna," kata pemain Paris Saint-Germain (PSG) terbabit kepada Marca.

Messi menggalas misi untuk menjulang trofi UCL musim ini memandang digandingkan di samping Neymar dan Kylian Mbappe.

Walaupun kapten Argentina itu mengakui mereka antara pilihan untuk mengungguli pentas Eropah, dia berasakan pasukan asuhan Mauricio Pochettino tersebut masih perlu bekerja keras untuk mencapai tahap yang diperlukan.

"Semua orang mengatakan kami adalah pasukan pilihan dan saya tidak mahu menafikannya kerana ia bersandarkan nama (besar) kami, tetapi kami masih perlu berusaha untuk menjadi sebuah pasukan yang benar-benar ampuh,” katanya.