Frank Lampard dan Steven Gerrard mempunyai mempunyai kualiti untuk menggantikan Dean Smith di Aston Villa, demikian kata bekas pemain tengah pasukan itu, Paul Merson.

Selepas tewas buat kali kelima berturut-turut susulan kekalahan 0-1 kepada Southampton Jumaat lalu, Smith menjadi pengurus kelima kehilangan jawatan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Bekas pengendali Brentford itu menghabiskan tiga tahun di Villa Park dan berhasil membawa kelab zaman remajanya itu kembali ke EPL sebelum menamatkan musim lalu di tangga ke-11.

Bagaimanapun, pengurus berusia 50 tahun itu menerima padah apabila kekalahan Villa kepada Southampton telah meletakkan pasukan itu hanya dibezakan dua mata dan dua anak tangga daripada zon penyingkiran.

Merson, yang meluangkan empat tahun dari 1998 hingga 2002 bersama kelab itu, berasa simpati dengan nasib Smith dan percaya usaha yang dilakukan jurulatih itu mampu mengubah nasib mereka.

Tetapi Merson juga menggesa kelabnya untuk memikirkan nama Lampard atau Gerrard sebagai pengganti Smith.

Ketika Merson menyedari sukar untuk memujuk Gerrard, yang membimbing Rangers memenangi kejuaraan Liga Perdana Scotland musim lalu, dia berasakan tawaran untuk menyertai kelab EPL merupakan sesuatu yang sukar untuk ditolak.

Dia berkata kepada Sky Sports: " Saya mahu melihat Frank Lampard atau Steven Gerrard mendapatkan tugas itu.

"Agak sukar untuk memujuk Steven, dia menguruskan sebuah kelab besar, Rangers.

"Dia membawa mereka dengan cemerlang; dia menghalang Celtic daripada memenangi gelaran ke-10 berturut-turut, mereka berada dalam Liga Europa dan berpeluang untuk memenangi Liga Perdana Scotland.

"Semua orang mahu menguruskan kelab EPL; tanpa sebarang penghinaan buat Liga Perdana Scotland. Rangers dan Celtic kelab yang lebih besar berbanding mungkin separuh daripada pasukan yang bertanding dalam Liga Perdana Inggeris.

"Tetapi ini adalah EPL, dan apabila anda mula menjadi pengurus, saya pasti setiap orang akan terfikir untuk menguruskan kelab seperti Aston Villa," katanya.



Merson turut memuji bekas pengendali Chelsea, Lampard, yang membimbing The Blues ke final Piala FA 2020 dan layak ke Liga Juara-Juara Eropah walaupun berdepan sekatan perpindahan pemain pada ketika itu.

Pengurus berusia 43 tahun itu, yang sebelumnya membawa Derby County ke final playoff Liga Kejuaraan, turut terkenal dengan pendekatannya dalam memberikan peluang buat pemain muda seperti Mason Mount, Tammy Abraham dan Reece James antaranya.

Merson berasakan kualiti yang dimiliki Lampard amat sesuai untuk Aston Villa.

"Saya fikir anda juga perlu menyenaraikan nama Frank.

"Dia menguruskan Chelsea, di mana dia melakukan tugasnya dengan baik dan mengekalkan pasukan itu dalam keadaan stabil.

"Jika anda lihat pemain muda yang hadir di Chelsea ketika itu, dan kemudian anda melihat kepada akademi Aston Villa, ia juga cukup bagus.

"Jumaat lalu, Dean Smith menggunakan lima atau enam pemain daripada akademi dalam skuadnya dan ia merupakan perlawanan terakhir buatnya," tambahnya."