Carlo Ancelotti berkata kanak-kanak perlu mengejar impian mereka apabila ditanya mengenai hasrat Kylian Mbappe untuk menunaikan perpindahan impiannya ke Real Madrid.

Dalam autobiografi bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu, dia mengimbas kembali lawatan ke tempat latihan Valdebebas milik Los Blancos ketika berusia 14 tahun di mana dia sempat bertemu wiranya, Zinedine Zidane dan Cristiano Ronaldo.

Kisah itu menguatkan lagi khabar angin Mbappe untuk berpindah ke ibu kota Sepanyol berkenaan selepas menjadi subjek bidaan pada hari terakhir jendela perpindahan musim panas lalu.




Perjanjian Mbappe akan berakhir hujung musim ini dan dia dilaporkan akan memeterai perjanjian pra-kontrak dengan Madrid yang kini menguasai puncak LaLiga.

Ditanya mengenai Mbappe, Ancelotti menjawab: "Kanak-kanak perlu mengejar impian yang mereka miliki.

"Ketika kanak-kanak, saya mempunyai impian untuk bermain dalam Serie A dan akhirnya saya memenuhinya."

Bagaimanapun, apabila ditanya jika kariernya sebagai pemain dilahirkan semula, Ancelotti menamakan bintang Borussia Dortmund, Erling Haaland, dalam senarainya.

"Saya ingin menjadi seorang penyerang. Vinicius Junior, Karim Benzema atau Haaland," katanya.

"Apa yang saya kurang sepanjang kerjaya sebagai pemain ialah gol."

Sementara itu, pakar taktikal dari Itali itu mengakui perlu membuat merombak pasukannya apabila berkunjung ke Real Sociedad, awal pagi esok, sebelum membuat perhitungan dengan Inter, Rabu depan.

Dia perlu bijak mengimbangi kecergasan pemainnya selain memenuhi tuntutan perlawanan dan akan terus memantau rapi perkembangan trio berpengalaman, Luka Modric dan Toni Kroos malah sedia mengambil risiko menurunkan Casemiro yang sudah mengutip empat kad kuning.

'Saya tidak pasti mereka mampu mengharungi tiga perlawanan berturut-turut.

"Saya perlu pastikan terlebih dahulu. Jika Modric tidak dapat tidur lena atau berasa letih, saya tidak akan mempertaruhkannya."