Kylian Mbappe mendedahkan bahawa dia sudah meminta untuk meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) pada Julai lalu berikutan minat daripada Real Madrid, sambil meminta pasukan Ligue 1 berkenaan bersetuju dengan yuran perpindahannya.

Pemain kebangsaan Perancis itu terus dikaitkan dengan perpindahan ke Santiago Bernabeu sepanjang jendela perpindahan lalu selepas memasuki tahun terakhir dalam kontraknya.

Madrid dilaporkan telah mengemukakan tiga bidaan untuk mendapatkan pemain kebangsaan Perancis itu sepanjang Julai hingga Ogas lalu dengan yang terakhir dikatakan bernilai €200 juta (RM969.95 juta).

Bercakap kali pertama mengenai masa depannya, Mbappe mengesahkan dalam satu temu bual RMC Sport bahawa dia tidak berkeinginan untuk menandatangani kontrak baru di Parc des Princes.

"Saya meminta untuk pergi. Sejak daripada momen saya tidak mahu melanjutkan kontrak, saya mahu kelab saya menerima tawaran yuran perpindahan itu agar mereka dapat membawa masuk pengganti yang berkualiti.

"Kelab ini telah banyak berbakti buat saya. Saya sentiasa gembira sepanjang empat tahun saya di sini, dan saya masih gembira. Saya memberitahunya dengan cukup awal agar kelab ini dapat melakukan persediaan.

"Saya mahu semua orang lebih kuat selepas ia selesai, dapat diselesaikan secara baik, dengan kesepakatan yang baik dan saya menghormati perkara itu.

"Saya katakan jika mereka tidak mahu saya pergi, saya akan kekal di sini," katanya.

Mbappe turut dilaporkan telah menolak banyak tawaran baru di ibu kota Perancis itu tetapi pemain bintang berkenaan menafikan perkara itu.



"Ada orang mengatakan yang saya telah menolak enam atau tujuh tawaran baru dan enggan berbincang dengan (Pengarah Sukan) Leonardo -- ia sememangnya tidak benar.

"Bukan tugas saya untuk menilainya tetapi kedudukan saya agak jelas. Saya memberitahu yang saya mahu pergi dan saya memaklumkannya dengan agak awal.

"Saya secara peribadi tidak gemar dengan fakta 'benar, dia (mahu meninggalkan pasukan) pada minggu terkhir Ogos lalu...' kerana saya sudah memaklumkan sejak awal Julai lalu bahawa saya mahu meninggalkan kelab ini," katanya lagi.