Pengulas utama siaran SmackDown Live, dilaporkan tidak akan kembali lagi ke meja ulasan selepas ini hinggalah kontraknya bersama WWE tamat pada 12 Ogos 2017 depan.

Sumber dalaman dari CBS Sports yang rapat dengan pengulas berusia 47 tahun menyatakan yang walaupun kontrak Mauro masih berbaki untuk tempoh 4 bulan lagi, pengulas yang berasal dari Kanada itu akan terus berehat dan tidak lagi membuat penampilan untuk WWE.

Profil Twitter rasmi Mauro juga dilihat tidak lagi tertulis apa-apa subjek yang merujuk kepada WWE, dan hanya menyatakan penglibatannya dengan Showtime Boxing serta siaran podcast The Score.

Mauro mula tidak hadir bertugas beberapa minggu sebelum acara WrestleMania bulan lalu dengan alasan kesihatan dan cuaca. Tidak lama kemudian, Mauro dilihat menyepi di semua laman sosialnya dan spekulasi mula bertiup yang mengatakan beliau kini sedang bergelut dengan masalah depresi dan bipolar disorder, menyebabkan dirinya tidak berada dalam keadaan kesihatan yang baik untuk bertugas.

Beberapa laporan tidak rasmi belakang tabir pula mengatakan yang ketidakhadiran Mauro ini berpunca daripada sikap rakan pengulasnya, John Bradshaw Layfield (JBL) yang dikatakan sering membuli orang baharu seperti Mauro, menyebabkan Mauro tawar hati dan kembali mengalami tahap depresi yang teruk.



Mauro Ranallo merupakan pengulas utama di siaran SmackDown Live bersama JBL, David Otunga dan Tom Phillips. Bukan sahaja suaranya kedengaran untuk siaran tersebut, beliau turut menjadi pengulas di acara 205 Live bersama Corey Graves.

Berbekalkan pengalaman dalam bidang ulasan untuk beberapa sukan tempur seperti MMA dan tinju, gaya ulasan Mauro begitu meyakinkan dan amat menarik untuk diikuti. Setiap perlawanan WWE yang menerima ulasan beliau seakan menerima suntikan semangat dan aura berbeza kerana amat bertenaga. Tidak keterlaluan untuk dikatakan yang Mauro adalah penyambung legasi ulasan hebat lagenda seperti Jim Ross di era ini.

Penulis sendiri amat menggemari gaya ulasan Mauro. Sejak menyertai WWE pada Januari 2016, siaran Smackdown kembali menjadi siaran wajib tonton kerana gaya ulasan Mauro yang begitu segar dan dramatik. Manakan kita boleh lupa ungkapan MAMA MIA! setiap kali sesuatu aksi menarik berlaku di dalam gelanggang, menyamai slogan ‘Bah Gawd!’ oleh Jim Ross dan ‘Oh my god!” oleh pengulas lagenda ECW, Joey Styles.

Ketiadaan Mauro pastinya akan dirasai selepas ini dan Smackdown pasti akan hilang serinya. Jika benar JBL bertanggungjawab menyebabkan rasa tawar hati tersebut, WWE sepatutnya turut merombak barisan petugas di meja pengulas seperti menukarkan JBL ke Raw dan Corey Graves pula berpindah ke Smackdown.

Mauro mula didiagnos mengalami masalah bipolar disorder sejak berusia 19 tahun pada 1989. Ini susulan kematian mengejut rakan rapatnya yang juga berusia 19 tahun akibat serangan jantung.

Penglibatannya dalam dunia penyiaran adalah untuk mengubah stigma negatif masyarakat terhadap penghidap masalah mental sepertinya dan menjadi contoh kepada individu lain yang berkongsi masalah yang sama dengan dirinya.

Ramalan rombakan roster WWE esok

Berbicara tentang rombakan, sepertimana yang semua sedia maklum, acara WWE Raw yang bersiaran esok akan menyaksikan beberapa rombakan kepada barisan penggusti di Raw dan SmackDown.

Beberapa nama besar dijangka akan bertukar jenama bagi menyajikan sesuatu yang lebih segar kepada WWE Universe.



Penganalisis sukan gusti profesional tersohor, Dave Meltzer melalui perkongsian di Wrestling Observer melalui sumber yang dipercayai telah menggariskan beberapa ramalan yang mungkin akan menjadi kenyataan esok:


1. AJ Styles dijangka berpindah ke Raw.

2. Roman Reigns mungkin akan ke SmackDown untuk menjadi bintang utama menggantikan Cena, namun ada juga yang menjangkakan beliau akan tetap di Raw. Status untuk Roman masih tidak diketahui.

3. The New Day ke SmackDown.

4. Juga terdapat cakap-cakap yang bekas Juara Wanita Raw, Charlotte Flair akan ke SmackDown.

5. Bekas Juara Wanita SmackDown, Alexa Bliss berhijrah ke Raw.

6. Sasha Banks juga diramal akan menuruti Charlotte ke SmackDown. Becky Lynch pula tidak mustahil akan ke Raw.

7. Shinsuke Nakamura yang baru sahaja menyertai roster utama SmackDown minggu lalu, diramal akan menjadi jaguh suka ramai utama di SmackDown bersama Randy Orton, manakala Roman (jika beliau kekal di Raw) dan AJ Styles akan menjadi bintang ‘geng baik’ utama di Raw.

8. Beberapa jalan cerita persengketaan yang telah dirancang juga mungkin akan mengalami rombakan dan ditulis semula susulan ‘Superstars Shakeup’ ini esok.


Walau apapun, semua ini hanyalah ramalan dan belum lagi disahkan. Semuanya akan terjawab di acara Raw esok dan di acara SmackDown pada malam berikutnya.

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network dan saksikan semua acara pay per view setiap bulan eksklusif secara langsung yang turut boleh diikuti di Astro On The Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti profesional.