Nemanja Matic hanya memerlukan masa yang singkat dalam membuat keputusan untuk menyertai Roma dan bekerjasama dengan Jose Mourinho, menjelaskan jurulatih Giallorossi itu 'meyakinkannya dalam masa kurang daripada lima minit'.

Pemain antarabangsa Serbia itu akan bermain di bawah kendalian Mourinho buat kali ketiga dalam kariernya, setelah beraksi untuk pengendali Portugis itu di Chelsea dan Manchester United.

Mourinho pertama kali menandatangani pemain tengah itu untuk Chelsea dari Benfica pada 2014 dalam perjanjian bernilai GBP40 juta, memenangi Liga Perdana Inggeris (English Premier League) pada musim tunggal mereka bersama.

Matic bermain di Stamford Bridge selama dua tahun lagi selepas pemergian Mourinho, sebelum jurulatih Portugal itu menandatangani semula beliau di United pada 2017.

Tahun berikutnya Mourinho dilepaskan daripada tugasnya di Old Trafford, dengan Matic kekal di United sehingga bulan lalu, apabila dia bertemu semula dengan bekas jurulatihnya dalam perjanjian setahun di Eternal City.

Matic telah bermain 118 perlawanan di bawah Mourinho, penampilan terbanyak pemain berusia 33 tahun itu di bawah seorang pengurus dalam Liga Perdana, dan tidak boleh menolak bekerja dengannya sekali lagi.

“Dia meyakinkan saya dalam masa kurang lima minit untuk datang ke Rome: apabila saya meninggalkan United dia menelefon saya dan saya segera berkata ya,” kata Matic kepada Il Messaggero.

"Mou mempunyai sesuatu tambahan yang memotivasikan dan merangsang anda. Saya tidak pernah melihat dia berpuas hati, apabila dia menang dia sudah memikirkan tentang hari berikutnya. Dia adalah orang pertama yang dahagakan kemenangan."