Holger Rune mengejutkan Novak Djokovic untuk bergelar juara Kejohanan Tenis Masters Paris awal pagi tadi, sekali gus memberikan petanda bahawa pemain remaja itu sudah bersedia untuk bersaing di pentas elit.

Pemain berusia 19 tahun itu menewaskan Djokovic 3-6, 6-3, 7-5 untuk kini menduduki tangga ke-10 kedudukan ranking dunia dan menjadi pemain Denmark pertama berada dalam kelompok berkenaan.

Rune juga menjadi pemain pertama dalam sejarah ranking Persatuan Tenis Profesional (ATP) sejak 1973 menewaskan lima pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia dalam satu kejohanan sama -- selain Final ATP.

Dia layak ke final Masters 1000 pertama dalam kariernya itu dengan menyingkirkan nama-nama besar termasuk Hubert Hurkacz, Andrey Rublev, Carlos Alcaraz -- yang menarik diri sewaktu ketinggalan dalam suku akhir -- dan Felix Auger-Aliassime.

Kejayaan itu juga menyaksikan Rune menjadi pemain termuda memenangi Masters Paris sejak Boris Becker melakukannya pada usia 18 tahun pada 1986.