Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, menamatkan penantian gelaran apabila menjuarai Kejohanan Badminton Masters Indonesia dengan menewaskan rakan senegara, Cheam June Wei, di Malang hari ini.

Pemain berusia 23 tahun itu bangkit daripada ketinggalan untuk mencatatkan kemenangan 9-21, 22-20, 21-19 selepas bertarung selama sejam dan tujuh minit.

Ia merupakan satu kejayaan penting buat Jun Hao memandangkan dia tidak pernah memenangi gelaran selepas kali terakhir layak ke final Masters Thailand pada 2018.

Pemain di ranking ke-89 dunia itu juga kerap bergelut dengan kecederaan yang memaksanya untuk berehat panjang sebelum ini.