CHELSEA 2 LIVERPOOL 2

Thomas Tuchel tidak dapat menawarkan jaminan bahawa Romelu Lukaku masih mempunyai masa depan di Chelsea selepas menggugurkan pembelian termahal kelab itu ketika seri 2-2 dengan Liverpool, awal pagi tadi.


Juara Eropah itu dikejutkan dengan temu bual Lukaku di Sky Sport Italia, minggu lalu, bahawa dia tidak berpuas hati dengan situasinya di Chelsea. Tuchel kemudian bertindak balas dengan menyisihkan penyerang itu untuk perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge.

Sebelum perlawanan awal pagi tadi itu, pengurus The Blues tersebut menyatakan bahawa dia meminggirkan Lukaku kerana isu itu menjadi terlalu besar dan diperbesarkan.




Bagaimanapun, Tuchel tidak mendedahkan sama ada pemain antarabangsa Belgium itu telah meminta maaf dan berkata belum ada keputusan dibuat sama ada dia akan kekal.

Pengurus kelahiran Jerman itu memberitahu Sky Sports: "Dia pemain kami. Selalu ada jalan untuk kembali tetapi kami akan menyelesaikannya di Cobham (pusat latihan Chelsea) secara tertutup dan sebaik sahaja kami membuat keputusan; kelab, jurulatih dan sebaik sahaja Romelu dimaklumkan, kemudian kami akan mewar-warkannya..

"Ini bukan perkara yang mahu dibincangkan sekarang, kita tunggu beberapa hari lagi."

Chelsea bangkit daripada ketinggalan dua gol selepas jaringan Sadio Mane dan Mohamed Salah meletakkan Liverpool di landasan tepat untuk menduduki tempat kedua, Mateo Kovacic kemudian mengurangkan defisit gol dengan voli hebat sebelum Christian Pulisic menyamakan kedudukan pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Tuchel menganggap Mane sepatutnya dibuang padang oleh pengadil, Anthony Taylor, kerana menyiku muka Cesar Azpilicueta selepas hanya enam saat permainan.

Dia berkata: "Jika anda masih ingat pertemuan pertama musim ini yang dikendalikan pengadil yang sama, betapa cepatnya dia memberikan kami kad merah, saya bukan peminat layangan awal kad merah. Saya tidak suka mengatakannya kerana saya menggemari Mane dan dia seorang lelaki yang bagus dan pemain terbaik, tetapi ia membabitkan insiden kad merah.

"Siku berada di muka; tidak kira jika anda melakukan ini selepas 20 saat atau 20 minit. Ketika kami menentang Brighton sebelum ini, VAR (video bantuan pengadil) tidak mengendahkan satu situasi kami di dalam kotak penalti dan tiba-tiba menyemak pula gol Kovacic."

Chelsea ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu, Manchester City, sementara Liverpool satu mata di belakang tetapi dengan kelebihan satu perlawanan.