Timbalan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Datuk Richard Scully, tetap memandang positif masa depan JDT biarpun tanpa Mora sambil menyifatkan sentuhan jurulatih lain tetap mampu menambah gemilang pasukan itu,

"Mereka datang dan pergi. Jurulatih yang bakal dilantik menggantikan Mora semestinya akan terus meningkatkan mutu pasukan JDT," kata Richard.

"Sebagai contoh perlawanan bertemu Penang FC dan Melaka United sebelum ini, mereka bermain dengan cukup baik, tiada sebarang masalah dihadapi JDT."

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) mengumumkan perpisahan dengan ketua jurulatih Harimau Selatan, Benjamin Mora.

Berdasarkan kenyataan kelab di laman Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers, menjelaskan bahawa pengendali itu meminta untuk membenarkannya pulang ke Mexico bagi menyelesaikan urusan peribadi yang tidak dapat dielakkan.

"JDT menghormati permintaan berkenaan dan akan membiarkan pintu sentiasa terbuka untuk beliau kembali pada masa akan datang.

"Benjamin adalah jurulatih JDT yang paling berjaya dengan empat kejuaraan Liga Super Malaysia, empat Piala Sumbangsih, satu Piala Malaysia dan membawa JDT ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC tahun ini.

"Benjamin mengendalikan 148 perlawanan sepanjang dua kali tugasan sebagai jurulatih JDT sejak 2017, dan memenangi 102 perlawanan.

"Terima kasih, Benjamin. Anda akan selamanya menjadi sebahagian daripada Keluarga JDT. Jumpa lagi," jelas kenyataan JDT.