Penyerang yang ingin angkat kaki, Anthony Martial, berpeluang menghidupkan semula kariernya di Manchester United seandainya dia mempamerkan mentaliti agresif yang sama seperti Cristiano Ronaldo.

Demikian menurut bekas penyerang United, Louis Saha, yang turut memberitahu Stats Perform segalanya bergantung kepada pengurus sementara, Ralf Rangnick, untuk menggilap kemuncak prestasi Paul Pogba.

Minggu lalu, ejen kepada Martial mendedahkan bahawa pemain antarabangsa Perancis itu -- yang telah menghabiskan enam musim terakhirnya bersama United -- tidak sabar-sabar lagi untuk berhijrah pada awal bulan depan berikutan kurang diberi peluang pada musim ini.

Bekas penyerang Monaco itu hanya dipertaruhkan selama 358 minit musim ini -- penampilan ke-20 tertinggi dalam skuad itu -- selain dinamakan dalam kesebelasan sebanyak empat kali.

Dia menyumbangkan 17 gol ketika di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer dua musim lalu, tetapi hanya empat kali menemui sentuhan penyudah pada musim lalu dan hanya satu gol musim ini.

Bagaimanapun, Saha percaya masih belum terlambat buat Martial yang tidak beraksi dalam tiga perlawanan sejak Rangnick dilantik yang disifatkan sebagai peluang buatnya kembali menghidupkan karier di United.

"Dia memerlukan perubahan besar mengenai mentalitinya," kata Saha mengenai rakan senegaranya itu.

"Saya mendapat tahu dia tidak mengendahkan kritikan terhadapnya, dia hanya bertindak melindungi diri dan kepercayaan sendiri.

"Kadangkala anda harus mendengar kritikan. Anda perlu mendengarnya dan sedar bahawa anda mempunyai potensi besar dan mengapa dia dikritik. Ini kerana dia boleh melakukan lebih banyak lagi.

"Mentaliti yang ditunjukkan oleh Cristiano adalah sesuatu yang perlu ada bagi pemain yang menyarung jersi nombor sembilan. Ketika ini ia digunakan oleh Martial.





"Jadi dia benar-benar perlu menjadi sangat agresif. Inilah yang saya mahukan kerana saya fikir dia seorang pemain yang hebat dan bukan kerana dia adalah pemain Perancis.

"Saya suka potensinya apabila dia bermain dengan penuh keyakinan, dia bagaikan tidak boleh disekat. Saya lihat dia berkeupayaan menjadi sebahagian daripada skuad ini dengan menerapkan corak agresif sewajarnya dalam permainannya.

"Mungkin dalam empat atau lima perlawanan, dia diturunkan selama 70 minit, kemudian melanjutkannya selama 80 minit disusuli 90 minit."

Dalam masa sama, Saha percaya Pogba mampu lebih menyerlah seandainya Rangnick bijak menggunakan khidmatnya.

"Bukan semua pemain mampu beri tekanan kepada pihak lawan seperti N'Golo Kante. Kualiti Pogba berbeza."