Penyambungan kontrak ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil, akan diketahui dalam masa dua minggu lagi.

Menurut Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, mana-mana jurulatih yang menjalankan tugas dengan baik dan sukan di bawah seliaan mereka tidak sepatutnya risau dengan isu penyambungan kontrak.

"Semua kontrak jurulatih yang menunjukkan prestasi baik akan disambung.

"Kami akan bincangkannya dalam Jawatankuasa Kerja pada 21 November ke atas untuk kami bincangkan secara terperinci kontrak atlet dan jurulatih," katanya.




Sementara itu, Mansahar yang ditemui di Bengkel Perancangan Program Latihan 2023 menjelaskan bahawa dia sedang menjalankan tugas seperti biasa dan belum terima sebarang perkembangan mengenai lanjutan kontraknya.

"Setakat ini saya tidak dengar apa-apa perkembangan baru lagi.

"Kalau kontrak ditawarkan maka saya akan tandatangi tapi kalau tiada, saya terpaksa lepaskan jawatan.

"Saya tidak pasti lagi dengan kedudukan pada tahun depan, saya tunggu sahajalah (sebarang) keputusan daripada MSN dan persatuan (Kesatuan Olahraga Malaysia), " katanya.