Cesar Azpilicueta berkata penyerang Liverpool, Sadio Mane, sepatutnya dibuang padang kerana menyiku ketua pasukan Chelsea itu ketika permainan baru berusia enam saat untuk seri 2-2, awal pagi tadi.

Mane dilayangkan kad kuning oleh pengadil, Anthony Taylor, selepas lengannya terkena muka pertahanan The Blues itu dalam perebutan bola di udara di Stamford Bridge.

Mane turut mencetak nama selaku penjaring ketika menghukum kesilapan Trevoh Chalobah sementara Mohamed Salah meletakkan The Reds mendahului 2-0 dalam pertembungan di antara kelab di tangga kedua dan ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Tuan rumah kembali menyamakan kedudukan sebelum menuju bilik persalinan menerusi dua gol dalam masa empat minit yang menyaksikan Mateo Kovacic mengurangkan defisit menerusi voli memukau disusuli jaringan penyamaan Christian Pulisic.

Begitupun, kedua-dua kelab buntu dalam usaha mencipta gol kemenangan untuk Manchester City mendahului saingan dengan 10 mata di depan The Blues sementara Liverpool masih memiliki kelebihan satu perlawanan.

Azpilicueta menyifatkan Mane sebagai bernasib baik kerana tidak dibuang padang dalam perlawanan terakhirnya sebelum menyertai Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).

Pertahanan itu memberitahu Sky Sports: "Memang jelas ia adalah kad merah. Jika ia berlaku ketika wisel permulaan baru ditiup lima saat, ia tetap kad merah. Saya tidak faham -- kami pernah menempuhi keputusan seperti ini pada hari yang berbeza.

"Ia adalah kad merah yang jelas. Keputusan ini tidak memihak kami dan ia boleh mengubah rentak permainan.

"Saya menonton tayangan semula tetapi saya langsung tidak memerlukannya kerana saya tahu ia adalah merah yang nyata.



"Kami terpaksa berjuang untuk bangkit. Kami mencurahkan segala-galanya di atas padang tetapi ia masih tidak memadai.

"Kedua-dua pasukan mempunyai detik terbaik masing-masing. Apabila mereka mendahului 2-0, mereka menyangka bahawa mereka mempunyai peluang yang terhidang untuk menjaringkan gol ketiga, mungkin ia boleh membunuh permainan tetapi selepas itu kami beraksi dengan baik.

"Kami ketinggalan 0-2, kami berjuang hebat untuk bangkit. Sudah tentu kami mahukan lebih banyak lagi. Kami tidak pernah hilang kepercayaan. Kami cuba mendapatkan gol ketiga tetapi kami tidak dapat menghasilkannya dalam babak kedua."