Manchester City mengesahkan penjaga gol, Zack Steffen, menyertai kelab Kejuaraan, Middlesbrough, dengan pinjaman sepanjang musim.

Pemain antarabangsa Amerika Syarikat (AS) itu telah membuat 21 penampilan dan lapan perlawanan tanpa bolos sejak menyertai City pada 2019 selepas beraksi untuk kelab Liga Utama Bolasepak (MLS), Columbus Crew.

Steffen membuat sembilan penampilan untuk pasukan asuhan Pep Guardiola itu musim lalu dengan memulakan kempen dengan kekalahan kepada Leicester City dalam perebutan trofi Perisai Komuniti selain kesilapan besarnya adalah dalam kekalahan separuh akhir Piala FA kepada Liverpool, April lalu.

Dia merupakan pelapis utama kepada Ederson tetapi dengan AS akan memulakan kempen Piala Dunia menentang Wales pada 21 November, dia berdepan saingan dengan pemain baru Arsenal, Matt Turner.

Justeru, pemain berusia 27 tahun itu berharap dapat beraksi lebih kerap bersama pasukan bimbingan Chris Wilder tersebut bagi mengukuhkan tempatnya dalam kesebelasan di Qatar.




"Ia adalah rampasan besar bagi kami jadi saya gembira kami dapat membawa masuk Zack," kata pengurus Boro itu.

“Semua orang tahu situasinya, dia perlu bermain kerana Piala Dunia.

"Dia mempunyai perjanjian dengan Man City tetapi dia boleh mengambil jalan mudah kekal di sana dan duduk dengan selesa sebagai pilihan nombor dua mereka. Sebaliknya dia mahu keluar dan bersetuju untuk datang ke mari."

Steffen mempunyai 29 penampilan senior kebangsaan dan yang terakhir ketika kecundang 0-2 kepada Costa Rica, Mac lalu, tetapi dia tidak terbabit bertemu Maghribi, Uruguay, Grenada dan El Salvador pada bulan lalu disebabkan isu keluarga.

Middlesbrough bakal memulakan kempen Liga Kejuaraan menentang West Bromwich Albion pada 30 Julai.